Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menyelesaikan siasatannya terhadap isu pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, dan tidak dapat “secara muktamad” memutuskan berlaku perlanggaran undang-undang.
Dalam kenyataan hari ini, SC berkata selaku pengawal selia, remit pengaturan SC tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda).
“Dalam hal ini, siasatan adalah berkaitan isu sama ada berlaku kemungkinan perlanggaran di bawah Seksyen 25(4) Sicda berlaku atau tidak.
“Seksyen 25(4) Sicda menggariskan akaun dagangan perlu dibuka atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa.
“SC telah memutuskan siasatannya dan berdasarkan bukti yang ada, SC tidak dapat secara muktamad memutuskan pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Sicda telah berlaku,” kata SC dalam kenyataan hari ini.
Rekod awam menunjukkan bahawa Azam adalah pemegang waran penting dalam syarikat senarai awam Excel Force MSC Snd Bhd setakat Mac 2016 semasa dirinya adalah ketua jabatan siasatan SPRM.
Isu ini mencuri tumpuan pada Disember tahun lalu selepas ahli akademik Edmund Terence Gomez meletak jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, atas dakwaan panel itu enggan meneliti perkara berkenaan.
Susulan itu, Azam mendakwa urusan tersebut berlaku kerana akaun dagangannya digunakanoleh adiknya, Nasir.
Justeru, Azam berhujah bahawa dia tidak mempunyai kepentingan kewangan dan tidak ada unsur konflik kepentingan.