Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Campur tangan kehakiman': Adakah Muhyiddin sudah buat laporan, soal MP
Diterbitkan:  Jan 18, 2022 3:33 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo mempersoalkan sama ada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin ada membuat laporan polis atau SPRM berhubung dakwaannya, bahawa ada pihak tertentu menuntutnya untuk campur tangan dalam kes mahkamah.

Gobind berkata, menurut undang-undang, Muhyiddin perlu membuat laporan berhubung perkara seumpama itu.

“Dakwaan yang dibuat oleh Muhyiddin adalah serius. Dakwaan tersebut telah disiarkan dan disebarkan secara meluas oleh akhbar. Ia adalah perkara yang mempunyai kepentingan awam dan mesti ditangani mengikut undang-undang.

“Saya menyeru Muhyiddin untuk memberikan respons di atas perihal ini. Adakah dia sudah membuat laporan dan jika sudah, adakah dia menyatakan nama mereka yang didakwa telah membuat desakan itu?

“Jika dia tidak melakukannya, maka dia harus menjelaskan mengapa tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 4 Ogos tahun lalu, di tengah-tengah pemberontakan dalam gabungan politik yang diterajuinya, Muhyiddin mendakwa semasa berucap di televisyen bahawa pengkritiknya "tidak selesa" dengannya selepas dia enggan bersetuju dengan tuntutan mereka untuk campur tangan dalam kes mahkamah dan membebaskan beberapa orang yang menghadapi pertuduhan jenayah.

Dia bagaimanapun tidak menyebut sebarang nama secara khusus.

Penjelasan diperlukan

Gobind memetik Seksyen 25(1) Akta SPRM yang menyatakan "mana-mana orang yang diberi, dijanjikan, atau ditawarkan, apa-apa suapan dengan melanggar mana-mana peruntukan Akta ini hendaklah melaporkan pemberian, janji atau tawaran itu, berserta dengan nama, jika diketahui, orang yang memberikan, menjanjikan atau menawarkan suapan itu kepadanya kepada pegawai Suruhanjaya atau pegawai polis yang paling hampir".

Dia juga memetik Seksyen 25(2) akta itu yang menyatakan “mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya".

“Bukankah, daripada perkara di atas dan daripada apa yang telah dikatakan olehnya, suatu laporan perlu dibuat berhubung perkara tersebut sepertimana dinyatakan di dalam Seksyen 25(1) Akta SPRM?” soal Gobind.

Dakwaan Muhyiddin itu dipersoalkan susulan penafian oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Tengku Maimun berkata tiada pihak yang menghubungi dirinya atau hakim lain berhubung dakwaan Muhyiddin tentang cubaan campur tangan dalam badan kehakiman.

She said no one had approached her or any other judges for such interference.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS