Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sudah cukup 35 tahun bersama DAP, kata Law
Diterbitkan:  Jan 18, 2022 2:02 PM
Dikemaskini: 6:02 AM

Bekas exco Pulau Pinang, Danny Law Heng Kiang yang mengumumkan bahawa dirinya keluar meninggalkan DAP, hari ini berkata dirinya sedang mencari hala tuju baru.

Mengenai spekulasi kemungkinan dia akan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) yang berpangkalan di Kota Kinabalu, bekas Adun Batu Lancang itu berkata, hanya masa akan menentukannya.

“Sudah cukup 35 tahun bersama DAP, dan kini sedang mencari hala tuju baru...

“(soalan mengenai kemungkinan menyertai Warisan) times will tell.” katanya yang dipetik oleh Bernama di Pulau Pinang.

Law pertama kali dipilih sebagai Adun Batu Lanchang mewakili DAP pada 1999 tetapi kerusi itu tumbang kepada Gerakan pada pilihan raya 2004.

Dia kemudiannya sekali lagi dipilih pada 2008 dan mewakili kerusi itu sehingga 2018. Sepanjang tempoh itu dia juga pernah berkhidmat sebagai exco negeri bagi pembangunan dan kebudayaan pelancongan.

Bagaimanapun, Law tidak bertanding pada pilihan raya umum 2018 dan kerusinya diserahkan kepada rakannya, Ong Ah Teong.

Law, 61, telah mula aktif dalam politik selepas menyertai DAP pada tahun 1986.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying berkata parti itu menghormati keputusan Law dan mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan beliau selama bersama DAP.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS