Bekas pembantu kepada mantan perdana menteri Najib Razak, Romen Bose mengecam ulasan buku oleh Tommy Thomas, dengan menyifatkan bekas peguam negara itu jelas mengelak "gajah" di depan matanya.
Thomas baru-baru ini mengulas buku Bose “Final Reckoning: An Insider’s View of The Fall of Malaysia’s Barisan Nasional Government” dan secara terus terang meremehkan Bose, yang digelarnya sebagai "pencacai Najib".
“Saya bingung bagaimana Thomas boleh membaca bab 1MDB tetapi gagal melihat’gajah dalam bilik’ khususnya dakwaan dalam kertas siasatan SPRM 2018/2019 ke atas bekas Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz dan bekas Menteri Kabinet Nor Mohamed Yakcop.
"Ini membingungkan memandangkan dia adalah peguam negara apabila semua ini didakwa berlaku," kata Bose dalam jawapannya hari ini.
“Memandangkan minatnya terhadap buku saya dan penglibatannya dalam pendakwaan Najib, saya akan meminta Thomas untuk mengesahkan sama ada ‘Laporan kes AmBank’ yang didakwa itu sahih atau sebaliknya?
“Dan jika ia sahih, maka mengapa tida k ada tindakan diambil terhadap Zeti dan Nor Yakcop?"
Bose berkata, sikap Thomas berdiam diri dalam isu berkenaan adalah memekakkan telinga dan dramatik, sambil menambah dia percaya bahawa perbicaraan Najib adalah pendakwaan politik.
Dia juga membidas Thomas dengan berkata bahawa ia pasti agak memalukan apabila bekas Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) yang melantiknya sbagai Peguam Negara, kini memberi bayangan bahawa sebahagian daripada memoir Thomas adalah fiksyen dan secara terbuka menyatakan kekesalannya dalam melantik Thomas sebagai Peguam Negara.