Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tahanan mati mengejut di lokap, paru-paru berair - Bukit Aman
Diterbitkan:  Jan 18, 2022 11:52 AM
Dikemaskini: 7:51 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kematian seorang tahanan di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, Ahad lalu adalah kerana mati mengejut berpunca daripada paru-paru berair.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Azri Ahmad, berkata keputusan itu adalah berdasarkan laporan bedah siasat mayat mangsa di Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu, semalam.

"Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut selepas tiada sebarang kecederaan atau elemen jenayah dikesan.

"Bagaimanapun, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan," katan dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan mengenai kematian lelaki berusia 37 tahun itu pada jam 4.35 petang Ahad.

Mangsa ditahan dan direman empat hari hingga esok mengikut Seksyen 12 (2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 14 Januari lalu satu lagi kematian dalam lokap dilaporkan iaitu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, Perak.

Dua anggota polis adalah antara empat individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian dalam lokap di IPD Taping berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS