Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad memandang serius perpecahan dan perbalahan dalam kalangan kepimpinan tertinggi syariah susulan dakwaan seorang hakim kanan terbabit dalam kes gangguan seksual.
Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar, perpecahan itu sudah lama berlarutan tetapi tiada tindakan diambil oleh kerajaan.
"Menteri Agama sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, perlu menyelesaikan polemik ini segera supaya jabatan ini tidak mengalami defisit kepercayaan daripada orang awam sebagaimana dialami beberapa institusi lain.
"PPMM percaya, perpecahan ini sudah lama membarah tetapi tidak diendahkan oleh pihak berwajib," katanya yang dipetik portal Berita Harian, hari ini.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan polis telah memulakan siasatan terhadap seorang hakim kanan selepas dia seorang wanita membuat laporan mendakwa dia menemui hakim terbabit dalam keadaan berbogel di atas katilnya pada 2020.
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Mohd Na'im Mokhtar kemudiannya tampil membuat laporan polis "menafikan sekeras-kerasnya" dakwaan bahawa dia melakukan gangguan seksual seperti yang didakwa.
Susulan daripada itu, Persatuan Peguam Syariah Malaysia (PPSM) mengeluarkan beberapa pandangan berbeza dengan presidennya, Ibrahim Deris yang mencadangkan Mohd Na'im direhatkan bagi memudahkan siasatan.
Bagaimanapun, timbalan presidennya, Muhammad Yusro Borhan Nordin menafikan kenyataan akhbar yang dikeluarkan presiden persatuan itu dan mendakwa ia bukan pendirian persatuan mereka.
Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, hakim yang berwibawa dalam kalangan mediator bertauliah bukan terdiri daripada kalangan pengamal undang-undang dan kehakiman wajar dilantik untuk memudahkan perjalanan perbincangan semua pihak.
Dia juga menggesa semua pihak dalam institusi kehakiman syariah tidak menggunakan media bagi menegakkan pendirian masing-masing, sebaliknya kembali ke meja rundingan untuk berbincang demi memelihara integriti, kewibawaan dan maruah institusi itu.
Katanya, pertikaian di media massa dan media sosial hanya akan memburukkan lagi persepsi masyarakat.
"PPMM melahirkan rasa dukacita dengan penularan isu status moral seorang hakim kanan syariah, baru-baru ini.
"PPMM memandang serius permasalahan berkenaan dan demi mengembalikan nama baik institusi ini, adalah wajar ia diselesaikan secara baik mengikut ajaran Islam.
"Penyelesaian ini haruslah dilakukan seumpama menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerakan," katanya lagi