Kumpulan hak asasi manusia melahirkan kebimbangan berikutan dua kes kematian berlaku dalam tahanan polis, hanya dalam tempoh empat hari.
Kejadian pertama membabitkan lelaki berusia 63 tahun di lokap ibu pejabat polis daerah Taiping pada 13 Jan lalu, manakala kematian terbaru membabitkan seorang lelaki berusia 37 tahun di lokap balai polis Pengkalan Chepa pada 16 Jan.
Pengarah Eksekutif Suaram, D Sevan berkata, susulan kematian yang dilaporkan di Lokap IPD Taiping minggu lalu, pihak polis telah menahan dua anggota polis dan dua tahanan lokap bagi tujuan siasatan.
"Bagaimanapun sebab mereka ditahan dan apakah penglibatan mereka di dalam kematian tersebut tidak dinyatakan. Hal ini menimbulkan banyak pertanyaan daripada orang ramai.
"Dalam dua kematian ini juga, kita masih belum mendapat punca kematian yang sepatutnya diketahui melalui laporan bedah siasat iaitu satu prosedur wajib bagi kematian dalam tahanan,” katanya.
Polis bulan lalu menubuhkan Unit Siasatan Jenayah Mengenai Kematian Dalam Tahanan (USJKT).
Bagaimanapun Sevan sekali lagi menegaskan bahawa siasatan yang dijalankan USJKT tidak meyakinkan memandangkan pihak polis sendiri menyiasat salah laku jabatan polis yang lain.
"Penyelesaian terbaik dalam mendapatkan kebenaran dan keadilan bagi kematian dalam tahanan haruslah sama ada melalui inkues kehakiman atau siasatan daripada badan yang bebas daripada pasukan polis," katanya.
Sementara itu, NGO Menghapuskan Kematian Dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) mengingatkan bahawa siasatan awal hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah Koroner.
Katanya, kekerapan berlakunya kes kematian dalam lokap polis dilihat sangat tinggi dalam tempoh sebulan dan amat membimbangkan.
Edict juga ingin mengingatkan agar kerajaan tidak membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) memandangkan RUU berkenaan tidak dapat mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap PDRM.
Sebaliknya, katanya, RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) yang siap didrafkan pada 2005 adalah satu-satunya RUU yang mampu mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap pasukan itu.
"IPCMC adalah satu suruhanjaya yang benar-benar bebas dan berkuasa bagi mengendalikan siasatan dan pendakwaan ke atas anggota polis yang melanggar undang-undang ketika menjalankan tugas,"katanya.