Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lagi pelajar ‘begadai nyawa’ demi menuntut ilmu
Diterbitkan:  Jan 17, 2022 3:34 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Jika sebelum ini gambar pelajar yang terpaksa mengharungi jambatan gantung usang untuk ke sekolah menjadi keberangan warga maya di media sosial, kali ini satu lagi gambar mencetuskan rasa tidak puas hati mereka.

Bertarikh 13 Januari lalu, hantaran di laman Facebook atas nama "A Korn Korn" mencuri tumpuan dengan imej pelajar sekolah rendah berpakaian seragam menaiki sebuah bot sempit tanpa jaket keselamatan.

Pengguna Facebook itu berkata dia terpaksa mengetengahkan isu itu sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Gambar menunjukkan lebih 20 pelajar dari Kampung Pituru Timbang Taun di Kota Marudu, Sabah bersesak-sesak di dalam bot itu untuk pergi ke sekolah mereka di SK Mangkapon Pitas, melalui Sungai Bongkol.

Selepas gambar itu menjadi tular, Borneo Post melaporkan pada 15 Januari lalu, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Marin Kudat campur tangan denagn membekalkan jaket keselamatan kepada pelajar.

Bagaimanapun, Khairul Abidin - individu pertama yang menyuarakan kebimbangannya di laman Facebook - dipetik The Vibes sebagai berkata jaket keselamatan itu menyebabkan bot berkenaan bertambah sempit berbanding sebelum ini.

Para pelajar, katanya, memerlukan bot yang lebih besar. Dia berkata, ada jalan alternatif untuk ke sekolah tetapi masyarakat nelayan tidak mampu membeli kenderaan bermotor.

“Mereka bukan anak saya tetapi anak jiran-jiran, dan saudara mara - saya bimbang tentang keselamatan mereka, perkara ini berlaku setiap hari,” katanya dipetik.

Sementara itu, Adun Bengkoka, Harun Durabi memberitahu Borneo Post bahawa dia sedang berusaha untuk mendapatkan peruntukkan untuk mendapatkan bot lebih besar.

Minggu lalu, gambar pelajar SK Sibuga Besar yang terpaksa menyeberangi sungai menggunakan jambatan gantung usang sepanjang 300 meter di Kampung Nealayan, Sandakan tular di media sosial, dengan warga maya menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.

Selepas mencuri tumpuan ramai, Jabatan Kerja Raya menghantar jurutera untuk memeriksa jambatan itu dan mengesahkan ia tidak selamat. Jambatan gantung yang telah usang dan rosak di Sandakan itu, kemudiannya terpaksa ditutup bagi membolehkan kerja pembaikan dilakukan pada kadar segera.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS