Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu juga dah bersedia jika PRN Johor diadakan

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, memaklumkan parti itu bersedia untuk sebarang kemungkinan jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri itu berkata sudah menjadi tugas orang politik untuk sentiasa bersedia bagi menghadapi pilihan raya, sama ada PRN atau pilihan raya umum (PRU).

"Orang politik adalah mereka yang mesti bersedia pada mana waktu sekali pun.

"Kalau hari ini pilihan raya, besok (dah) bersedia untuk pilihan raya yang akan datang.

"Kalau hari ini habis saja pilihan raya, kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Itu adalah perkara biasa," katanya.

Hamzah yang juga ahli parlimen Larut berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja pengurusan banjir Pantai Timur di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA), di Kuantan hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain.

Ketika ditanya mengenai kenyataan dibuat Umno dan BN serta PKR yang bersedia jika DUN Johor dibubarkan dalam masa terdekat, Hamzah berkata itu adalah sebahagian strategi digunakan ahli politik.

"Semua orang akan berkata dia bersedia, itu adalah strategi masing-masing untuk memaklumkan kepada media yang bertanya.

"Kalau media tak tanya saya, saya tak jawab pun benda ini. Itulah yang saya kata, semua orang yang berpolitik harus sentiasa bersedia," katanya.

Situasi politik Johor mula menjadi perhatian selepas Menteri Besar Hasni Mohammad pada 25 Dis lalu memaklumkan kerajaan negeri akan melihat dan memantau keadaan semasa, termasuk meneliti keperluan mengadakan PRN berikutan mempunyai kelebihan hanya satu kerusi DUN.

Ia berlaku selepas Adun Kempas yang juga bekas menteri besar, Osman Sapian, meninggal dunia.

Sabtu lalu, Naib Presiden UMNO, Mahdzir Khalid dilaporkan berkata parti itu bersedia menghadapi PRN Johor jika ia tidak dapat dielakkan.

Mahdzir berkata, parti tersebut dan parti gabungan dalam BN sentiasa bersiap sedia jika keputusan untuk mengadakan PRN dibuat Umno Johor, manakala keputusan bertanding secara solo atau bekerjasama dengan parti-parti lain akan dibuat secara konsensus oleh kepimpinan parti di peringkat pusat.

Sementara itu, anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Amirudin Shari, berkata perbincangan mengenai PRN Johor dibangkitkan dalam pertemuan Khamis ini.

Semalam, seorang lagi Naib Presiden Umno yang juga bekas Menteri Besar Johor, Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata keputusan untuk mengadakan PRN Johor adalah satu tindakan bertanggungjawab untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS