Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengetepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 kepada seorang remaja kerana cuba mencuri tabung masjid baru-baru ini.
Hukuman itu ditetapkan Mahkamah Majistret Selayang sebelum ini.
Hakim Abd Halim Aman berkata sebaliknya hukuman penjara dan denda ke atas Daniel Iskandar, 19, digantikan dengan perintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang akan dilaksana dalam tempoh enam bulan dengan tumpuan di masjid-masjid.
Hakim turut menyarankan agar pihak masjid, pihak yang merakam dan yang menularkan video Daniel untuk membuat membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Daniel dan masyarakat umum demi menjernihkan keadaan.
Abd Halim juga menegur dan mengingatkan masyarakat untuk tidak mengambil tindakan undang-undang sendiri dan mengambil iktibar atas kes tersebut demi masa depan Keluarga Malaysia.
“Mahkamah menyedari akan tempoh penjara yang telah dijalani oleh tertuduh selama 10 hari dan denda RM4,000 yang telah dijelaskan, namun demi masa depan tertuduh serta untuk mempunyai rekod kesalahan yang bersih, keputusan ini perlu disampaikan,” katanya ketika membacakan semakan berhubung hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Selayang sebelum ini.
Susulan itu, katanya, Daniel perlu melapor diri kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh tujuh hari dari hari ini dan wajib hadir mengikut jadual yang ditetapkan.
“Pesalah muda ini dikehendaki mematuhi setiap aktiviti atau program yang telah ditetapkan atau lain-lain arahan oleh JKM dan hendaklah dikhususkan khidmat masyarakat itu di masjid-masjid sahaja,” katanya.
Berpotensi cemar masa depan
Abd Halim berkata perintah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 293 (1)(e) Kanun Prosedur Jenayah dan sekiranya Daniel tidak melakukan perintah itu, dia boleh dihadapkan semula ke mahkamah dan boleh dihukum mengikut peruntukan asal.
Mengulas mengenai hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah majistret, Abd Halim berkata, berdasarkan hujah timbalan pendakwa raya, barisan peguam dan tertuduh serta nota catitan dan keterangan ketika prosiding, pihaknya mendapati hukuman yang direkodkan adalah silap dan keterlaluan.
“Pada masa yang sama hukuman itu tidak menunjukkan bentuk pemulihan dengan fakta jelas menunjukkan tertuduh adalah pesalah pertama dan telah mengaku salah.
"Apa yang dilakukannya hanyalah cubaan mencuri dan tiada kerugian yang dialami pihak masjid,” katanya.
Terdahulu ketika prosiding semakan, peguam yang mewakili Daniel, Muhammad Rafique Rashid Ali, memaklumkan anak guamnya semasa kejadian berusia 18 tahun empat bulan iaitu masih muda, mempunyai masa depan dan kesalahan itu merupakan kali pertama dilakukannya.
"Jadi pihak kami memohon hukuman ditukarkan mengikut Seksyen 173A Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.
Dia menambah walaupun Daniel akan dibebaskan hari ini, namun rekod penjara 10 hari berpotensi mencemarkan masa depan anak guamnnya yang masih muda.
“Saya mohon budi bicara yang yang arif untuk bagi bon di bawah Seksyen 173A dengan diberi teguran dan amaran. Saya juga mohon rekod penjara dipadamkan kerana boleh membawa risiko kepada masa depannya,” katanya.
Kata Mohamad Rafique, anak guam dan keluarganya merakamkan penghargaan kepada pihak mahkamah yang mengambil inisiatif memanggil sendiri untuk semakan itu.
Daniel turut diwakili peguam Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khuszairy.
Sementara itu timbalan pendakwa raya Norhana Sahat menegaskan pihaknya membantah untuk membenarkan bon di bawah Seksyen 173A Kanun Prosedur Jenayah dengan tiada kesilapan semasa tangkapan.
"Tidak perlu semak keputusan ini memandangkan hukuman telah dijalankan, denda telah dibayar dan pesalah juga akan dibebaskan hari ini,” katanya.
Selain itu, dua peguam pemerhati adalah Muhammad Hariz Md Yusoff dari Persatuan Peguam Muslim Malaysia dan Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie mewakili Masjid al-Islahiah.
- Bernama