Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukit Aman siasat satu lagi kes kematian dalam lokap polis
Diterbitkan:  Jan 17, 2022 12:24 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan berlaku satu lagi kematian dalam lokap. Kali ini membabitkan Balai Polis Pengkalan Chepa, Kelantan.

Empat hari lalu satu lagi kematian dalam lokap dilaporkan iaitu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, Perak.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, CP Azri Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kematian tersebut pada jam 4.35 petang semalam.

"OKT (Orang kena tahan) itu ialah seorang lelaki Melayu berusia 37 tahun dan ditangkap mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"OKT terbabit diremah selama empat hari mulai 16 Jan sehingga 19 Jan ini di mahkamah di Kota Bharu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azri Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan JIPS akan menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

Sebelum ini Azri memberitahu JIPS Bukit Aman akan menyiasat kematian tahanan di Taiping itu.

Pada 14 Jan media melaporkan dua anggota polis adalah antara empat individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian dalam lokap IPD Taping berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS