Pemimpin Amanah Husam Musa menyarankan kerajaan PAS supaya menguar-uarkan perbelanjaan wang royalti petroleum Kelantan berjumlah RM400 juta dan berkongsi hasil tersebut kepada rakyat di negeri itu.
Menggunakan peribahasa bagai "tikus jatuh ke genak (tempayan simpan) beras," Husam mengingatkan supaya wang royalti tidak disalahgunakan dengan bermewah-mewahan tanpa menyumbang kepada rakyat.
Peribahasa itu merujuk keadaan orang yang mendapat kesenangan hidup.
“Setiap kali terima - kerajaan negeri tak maklum pada rakyat Kelantan. Membisu saja. 'Lembu kenyang' - katakan.
"Aturlah program biar rakyat jelata dapat mengecapi hasil bumi Kelantan seperti hasrat Bapa Pejuang Royalti - Tok Guru Nik Aziz.
“Jangan dibazirkan. Jangan pemimpin guna untuk bermewah,” katanya pada hantaran di Facebook hari ini.
Husam yang juga Ketua Amanah Bahagian Kota Bharu turut memuat naik laporan berita pengumuman Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung perkara itu.
Dalam pada itu, dia turut menyebut kelompok masyarakat yang masih memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri dan wajar diberikan perhatian.
“Ingat rakyat miskin mengharap, faqir melarat, anak yatim, pelajar dan guru pondok, anak muda inovatif dan kreatif, armalah, warga emas, peniaga kecil, usahawan, peluang niaga dan pembinaan generasi di era digital dan teknologi - antara lain.
“Tiada lagi belanja duit royalti petroleum tanpa ketelusan,” kata bekas naib presiden Amanah itu.
Terdahulu, Zafrul memaklumkan kerajaan Kelantan memperolehi peruntukan RM400 juta hasil daripada petroleum pada 2020 dan 2021.
Katanya, jumlah itu merangkumi lima peratus daripada hasil pengeluaran medan-medan yang berdekatan negeri itu.
"Apa yang penting peruntukan secara langsung diterima sebelum 2019 berjumlah RM28 juta, di bawah kerajaan kerajaan sekarang kita salurkan RM200 juta pada 2020 dan 2021 kepada Kelantan iaitu lima peratus, kita tak ambil satu sen pun,” kata Zafrul ketika sesi soal jawab dalam program taklimat kepada kakitangan awam Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu.