mk-logo
Berita
Didesak bayar ganti rugi, lelaki tetak bekas bapa mertua
Diterbitkan:  Jan 16, 2022 8:15 PM
Dikemaskini: 12:15 PM

Seorang lelaki tergamak menetak bekas bapa mentuanya menggunakan sebilah parang di sebuah kedai makan di Pandan Jaya di Kuala Lumpur semalam selepas didesak supaya membayar ganti rugi.

Kejadian pada 11 malam itu menyebabkan mangsa, yang juga seorang warga asing berusia 51 tahun, mengalami luka di belakang kepala, pipi sebelah kiri dan bahagian lengan kiri.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata ketika kejadian, suspek berusia 25 tahun yang merupakan warga tempatan membawa sebilah parang dan menetak mangsa beberapa kali sebelum melarikan diri.

"Punca kejadian disebabkan mangsa ada meminta sejumlah wang ganti rugi seperti yang dijanjikan oleh suspek kepada mangsa namun akibat desakan itu, suspek bertindak menetak mangsa.

"Susulan kejadian itu, mangsa kini berada di Hospital Ampang untuk menerima rawatan dan dilaporkan stabil," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan suspek yang tidak bekerja untuk membantu siasatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS