Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas kalah besar PRN, tiba masa raih semula keyakinan rakyat - DAP S'wak
Diterbitkan:  Jan 16, 2022 5:11 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

DAP Sarawak perlu memberi tumpuan untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat selepas berdepan dengan kekalahan besar dalam pilihan raya negeri bulan lepas, kata pengerusinya Chong Chieng Jen.

Dia berkata untuk mencapai perkara itu, terdapat tiga perkara yang perlu dilakukan; terus berkhidmat kepada rakyat, menarik lebih ramai penyertaan belia dalam jawatan melibatkan keputusan dalam parti dan meningkatkan publisiti.

“Bagi kami, DAP Sarawak, pada 2021, kami berdepan dengan kekalahan besar dalam pilihan raya negeri Sarawak.

"Oleh itu, ini adalah masa yang tepat untuk mengadakan konvensyen ini. Ia memberi kami peluang untuk membangunkan dan memulakan semula parti kami (dan) memberi peluang kepada perwakilan untuk memutuskan hala tuju parti.

“Melangkah ke hadapan, tugas utama jawatankuasa negeri kami adalah untuk meraih dan memenangi semula kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap parti kita,” kata Chong dalam ucapannya semasa konvensyen DAP Sarawak 2022 yang diadakan hari ini.

DAP Sarawak bertanding di 26 kawasan pada pilihan raya negeri Disember lalu tetapi hanya berjaya mengekalkan dua kerusi penyandang. Parti itu juga kehilangan lima kerusi yang cuba dipertahankan mereka pada PRN berkenaan.

Chong berkata ia sesuatu yang menyentuh hati apabila melihat ramai pemimpin akar umbi mereka terus memberi khidmat kepada rakyat, walaupun kalah dalam pilihan raya.

Dia juga menggesa penyertaan lebih ramai golongan belia di peringkat jawatankuasa negeri.

“Berbeza dengan parti-parti lain yang mengumumkan bahawa mereka akan menubuhkan sayap belia sebagai badan subsidiari untuk mereka yang berumur antara 18-28 tahun, kami akan menjemput lebih ramai dalam kumpulan umur ini untuk berada dalam jawatankuasa negeri, memperkasakan mereka untuk membuat keputusan di seluruh negeri,” katanya.

Chong menambah, DAP Sarawak masih memegang rekod paling tinggi dengan jumlah anggota yang paling muda dalam purata umur bagi mereka dalam jawatankuasa pembuat keputusan berbanding semua parti politik di Sarawak.

Selain itu, Chong berkata pemimpin DAP negeri mesti menyesuaikan diri dengan peredaran zaman dan mengakui kepentingan media sosial yang semakin meningkat seperti Facebook, Instagram, TikTok dan Youtube dalam meningkatkan publisiti.

“Dalam politik, bukan sahaja kandungan komunikasi yang penting, tetapi juga penyampaian kandungan tersebut dapat disampaikan kepada rakyat dengan berkesan adalah sama penting,” katanya.

Oleh itu katanya, publisiti dan kaedah komunikasi perlu menyesuaikan diri serta berkembang, jika masih mahu kelal relevan.

Walaupun mungkin sesetengah perkara atas faktor sentimen kesuraman dari krisis politik, yang berlaku sejak pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Chong berkata mereka tidak boleh berputus asa.

Katanya, tiada siapa menjangka Umno-BN akan dikalahkan pada PRU14, tetapi Pakatan Harapan telahpun membuktikan gabungan politik yang tidak pernah tewas sejak merdeka itu mampu ditundukkan.

"Sekiranya kita boleh melakukannya pada kali pertama sebelum ini, tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh melakukannya untuk kali kedua," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS