Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pihak berkuasa digesa teliti dasar pakaian mahkamah suspek
Diterbitkan:  Jan 16, 2022 12:26 PM
Dikemaskini: 4:26 AM

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa pihak berkuasa menjelaskan prosedur sebenar dalam memutuskan sama ada seseorang tertuduh perlu dikenakan pakaian tahanan atau sebaliknya apabila dibawa ke mahkamah.

Katanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenakan piawaian yang berbeza semasa mengendalikan seseorang tahanan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang ramai.

Langkah tersebut kata Lim juga menggalakkan persepsi bahawa SPRM mengamalkan pilih kasih dan pada masa sama menunjukkan agensi antirasuah tersebut tidak serius melaksanakan dasarnya sendiri.

"Sama ada SPRM tidak mempunyai dasar, atau polisi SPRM ialah mengikut budi bicara pegawainya secara individu," kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengalu-alukan gesaan Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Rais Yatim, semalam agar SPRM menangani sikap dwistandard dalam urusan mereka.

Hal itu termasuk arahan mengenakan baju tahanan yang berwarna oren ke atas individu yang didakwa di mahkamah.

Masa untuk tetapkan dasar 

Kata Rais terdapat suspek rasuah yang hadir ke mahkamah dengan berpakaian kemas - siap memakai kot dan bertali leher - manakala tertuduh yang lain dipaksa memakai baju T oren SPRM serta bergari.

Menurut Lim, kekeliruan posedur juga dapat dilihat semasa polis mengendalikan seseorang tahanan yang didakwa di mahkamah dan dikehendaki mengenakan pakaian lokap berwarna ungu.

“Dalam beberapa kes membabitkan VIP (orang kenamaan) dan individu bergelar Datuk, hampir tak ada yang digari atau memakai pakaian lokap semasa dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman atau pertuduhan jenayah.

“Sudah tiba masanya untuk SPRM dan PDRM membincangkan dan menggubal dasar yang menentukan kategori suspek yang dikehendaki mengenakan pakaian tahanan dan digari,” katanya.

Pada peringkat reman, kata Lim, polis dan SPRM perlu mempertimbangkan untuk membenarkan suspek jenayah tanpa kekerasan tampil dengan pakaian biasa tanpa bergari di hadapan majistret.

Untuk rekod SPRM semasa di bawah Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjayanya - pada 2019 - mengumumkan akan menghentikan amalan pakaian oren ke atas suspek selepas menerima aduan bahawa individu berprofil tinggi dikecualikan daripada prosedur itu.

Bagaimanapun, amalan itu diteruskan di bawah ketua pesuruhjaya yang baru, Azam Baki.

Azam berkata amalan itu perlu untuk membezakan antara orang yang ditahan SPRM dan mereka yang ditahan oleh agensi penguatkuasaan lain.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS