Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SURAT | Apa sudah jadi dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat?

Agensi yang dipertanggungjawabkan dalam membanteras rasuah kini terpalit dengan isu integriti apabila Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki berdepan dengan skandal pemilikam saham luar biasa.

Beliau didakwa telah memiliki kira-kira RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai, sewaktu menjadi pengarah siasatan SPRM antara 2015 dan 2016.

Azam semalam memfailkan saman fitnah bernilai RM10 juta terhadap Lalitha Kunaratnam berhubung dakwaan pembelian saham yang didedahkan Lalitha.

Apa sudah jadi dengan Akta Pelindungan Pemberi Maklumat 2010?

Pada Jun 2010, parlimen meluluskan satu undang-undang yang dinamakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 atau ringkasnya Akta 711 dan pemakaiannya berkuat kuasa pada 15 Disember 2010.

Niat parlimen berkaitan akta itu adalah untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat dalam bentuk kerahsiaan, kekebalan daripada tindakan sivil dan jenayah serta perlindungan daripada tindakan yang memudaratkan diambil. Undang-undang perlindungan pemberi maklumat meliputi mana-mana orang awam, anggota sektor awam dan swasta yang membuat pendedahan.

Antara pendedahan yang diga­lakkan adalah berkaitan penyalahgunaan kuasa, pelanggaran undang-undang dan etika standard, aktiviti yang membawa bahaya kepada kesihatan atau keselamatan awam, pembaziran yang serius, menyalahi undang-undang dan salah urus.

Akta tersebut dilaksanakan terhadap semua agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi lain yang mempunyai kuasa penyiasatan serta penguatkuasaan

Akta ini sebenarnya membolehkan orang ramai atau whistleblower tidak perlu khuatir atau teragak-agak untuk menyalurkan maklumat agar masalah salah laku seperti rasuah dan penyelewengan dalam kalangan pegawai agensi penguatkuasaan diminimumkan sekali gus memastikan hak serta kepentingan awam dijaga. Namun hari ini jelas terbukti, pemberi maklumat ditekan dan individu yang berdepan dengan tuduhan integriti masih kekal berada di kerusi empuk.

Dan, undang-undang yang diperuntukkan tidak harus jadi sandiwara bagi melindungi golongan elitis korup dan hanya terpakai kepada rakyat bawahan. Malaysia akan terus terjerumus ke kancah korupsi paling jijik selagi golongan elitis korup terus dilindungi.


DANISH HAIRUDIN ialah aktivis politik di Selangor yang berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Adun Sentosa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS