Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ada doktor dah beli vaksin Covid-19 melebihi harga siling - APHM
Diterbitkan:  Jan 14, 2022 9:55 AM
Dikemaskini: 2:28 AM

Walaupun pelaksanaan harga siling bagi penjualan vaksin Covid-19 Sinovac dan Sinopharm adalah langkah yang baik untuk mempromosikan ekuiti vaksin, ia mungkin memberi kesan negatif kepada industri kesihatan, kata Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

Dalam satu kenyataan semalam, Presiden APHM, Dr Kuljit Singh (atas) menggesa kerajaan mempertimbangkan implikasi harga siling terhadap pengamal kesihatan yang telah membeli vaksin secara pukal dengan kos yang lebih tinggi.

“Kami menyokong usaha kerajaan untuk mempromosikan ekuiti vaksin, yang penting untuk memulihkan pertumbuhan ekonomi.

“Walaupun penting bagi kerajaan menjalankan tugas demi kepentingan rakyat, kami berharap kerajaan juga mempertimbangkan implikasi kewangan dasar ini kepada industri, terutamanya bagi pengamal yang membeli dalam jumlah yang besar pada harga yang lebih tinggi pada peringkat awal dan masih belum menyelesaikan vaksinasi komersial,” kata Kuljit.

Harga siling berkuat kuasa 15 Jan

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa harga borong maksimum bagi vaksin CoronaVac keluaran Sinovac ialah RM62 bagi setiap dos. Harga runcit maksimum pula ialah RM77 setiap dos.

Sementara itu, harga borong maksimum untuk vaksin Covilo keluaran Sinopharm ialah RM49 bagi setiap dos. Harga runcit maksimumnya ialah RM61 bagi setiap dos.

Harga siling ini akan berkuat kuasa mulai esok (15 Jan) dan akan dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan.

Khairy dan Alexander menjelaskan bahawa harga siling perlu ditetapkan untuk menangani harga semasa vaksin Covid-19 yang tinggi di pasaran swasta.

Kuljit menambah, walaupun APHM menyokong dasar harga siling kerajaan, mereka berharap ia merupakan penyelesaian sementara dan hanya dilaksanakan dalam keadaan luar biasa.

Dia berkata ini bagi mengelakkan campur tangan kerajaan yang tidak terkawal dalam penetapan harga produk perubatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS