Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penipuan sijil vaksin: Siasatan terperinci perlu - Hishammuddin

Pihak berkuasa diminta terus menjalankan siasatan terperinci bagi membanteras kegiatan sindiket penipuan sijil vaksinasi Covid-19, kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Katanya penipuan membabitkan sijil vaksinasi itu merupakan perkara yang tidak boleh dimaafkan kerana ia akan memudarat serta mendedahkan orang ramai kepada pandemik Covid-19.

"Bagi saya, kita tidak akan kompromi penipuan sijil vaksinasi Covid-19… ia merupakan sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan saya gembira apabila pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu tertentu.

"Namun siasatan mesti diteruskan kerana ketamakan mereka untuk mendapatkan keuntungan dan mengambil kesempatan dalam musibah yang melanda dunia perlu ditangani dengan segera," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Markas 5 Divisyen, Kem Lok Kawi di Kota Kinabalu hari ini.

Hishammuddin juga berkata tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu itu boleh menyebabkan kes Covid-19 di negara ini meningkat.

"Mereka akan menjejaskan orang yang tidak berdosa… kita tahu sekarang ada varian yang lebih berbahaya iaitu Omicron dan kita tidak mahu kes Covid-19 kembali meningkat," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS