Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Harga siling penjualan Sinovac, Sinopharm pasaran swasta diumum
Diterbitkan:  Jan 13, 2022 6:14 PM
Dikemaskini: 11:30 AM

Kerajaan telah menetapkan harga siling untuk penjualan dua jenama vaksin Covid-19 - Sinovac dan Sinopharm - di pasaran swasta.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi mengumumkan perkara berikut:

Harga borong maksimum untuk vaksin CoronaVac Sinovac ialah RM62 setiap dos. Harga runcit maksimum ialah RM77 setiap dos.

Harga borong maksimum untuk vaksin COVILO Sinopharm ialah RM49 setiap dos. Harga runcit maksimum ialah RM61 setiap dos.

Harga siling ini berkuat kuasa mulai Sabtu (15 Jan) dan akan dikuatkuasakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan.

Kedua-dua menteri berkata harga ini tidak termasuk caj tambahan yang mungkin dikenakan oleh pentadbir.

“Harga runcit maksimum ini tidak termasuk caj perkhidmatan dan caj untuk sebarang barang pakai buang yang digunakan semasa proses pemberian vaksin.

"Harga siling ini ditentukan berdasarkan harga import dan kadar pasaran semasa," kata mereka.

Kerajaan menawarkan vaksin Covid-19 secara percuma kepada mereka yang mendaftar untuk mereka di aplikasi MySejahtera.

Harga mesti dipaparkan

Khairy dan Alexander menjelaskan bahawa harga siling diperlukan untuk menangani harga vaksin semasa yang "tinggi dan pelbagai" di pasaran swasta.

Mereka memberi amaran bahawa pentadbir kini mesti terlebih dahulu memaparkan harga vaksin.

“Setiap kemudahan penjagaan kesihatan swasta yang dibenarkan kerajaan menawarkan vaksin pembelian swasta mesti memaparkan harga jualan vaksin Covid-19 mereka kepada orang ramai dan lebih telus mengenai harga vaksin,” kata mereka.

Mereka seterusnya memberi amaran bahawa pihak yang melanggar peraturan ini akan dikenakan hukuman di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Individu yang menjual vaksin melebihi harga maksimum yang ditetapkan boleh didenda sehingga RM100,000, penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, kata mereka.

Syarikat yang menjual vaksin melebihi harga maksimum yang ditetapkan juga boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Aduan orang ramai berhubung pelanggaran harga siling boleh dibuat melalui laman web sistem pengurusan aduan awam (Sispaa) Kementerian Kesihatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS