Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Buaya tembaga mati di Port Dickson
Diterbitkan:  Jan 13, 2022 4:19 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Seekor buaya tembaga betina sepanjang dua meter dengan berat kira-kira 100 kilogram (kg) ditemukan mati di Pantai Cermin, Port Dickson, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan Nurul Ermi Ramli berkata dalam kejadian kira-kira 9.10 pagi, pihaknya menerima maklumat daripada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) Port Dickson mengenai penemuan seekor buaya tembaga di pantai berkenaan.

Katanya, haiwan berkenaan dipercayai telah mati antara satu hingga dua hari sebelum ditemukan.

"Susulan itu, sepasukan dari Perhilitan Daerah Seremban dibantu oleh pejabat Pusat Pendidikan Biodiversiti (PPBD) Tanjung Tuan, Melaka telah digerakkan ke lokasi kejadian.

"Bangkai reptilia itu diangkat dengan bantuan traktor SWM Environment Port Dickson dan dibawa ke pejabat Perhilitan untuk tindakan lanjut," katanya kepada Bernama di Seremban hari ini.

Beliau berkata bangkai buaya itu dibawa ke pejabat Perhilitan untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Nurul Ermi berkata mengikut rekod, dua ekor buaya tembaga berjaya diselamatkan pada tahun lepas dan kemudian dilepaskan ke habitat asal bagi memastikan spesiesnya terjaga.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS