Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Annuar: MKT beri isyarat Ismail Sabri 'poster boy' Umno PRU15
Diterbitkan:  Jan 13, 2022 4:16 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno disifatkan memberi isyarat  bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan dijadikan watak utama mewakili Umno atau 'poster boy' parti itu untuk pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Ketua Umno Ketereh, Annuar Musa yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam satu kenyataan berkata isyarat itu juga sekali gus menunjukkan bahawa Ismail adalah calon perdana menteri daripada parti itu.

"Pemakluman setiausaha agung Umno pascamesyuarat MKT yang lalu, bahawa MKT terus memperkasakan kepimpinan dan kedudukan Ismail Sabri adalah satu manifestasi kebijaksanaan MKT.

"Mesyuarat MKT jelas membuat 'endorsement' (saranan) bahawa Ismail Sabri akan terus memimpin negara sehingga tamat tempoh penggal Parlimen ke-14, pada tahun 2023.

"Bukan itu saja, malah MKT turut menunjukkan isyarat bahawa Ismail Sabri adalah 'poster boy' PRU15, sekali gus merupakan calon perdana menteri daripada Umno, pasca PRU15 nanti," katanya.

Menurut Annuar, isyarat itu juga secara tidak langsung menunjukkan MKT Umno memberi isyarat bahawa tradisi parti akan terus dipertahankan.

"Dalam Umno, sesorang yang diangkat sebagai perdana menteri akan seterusnya diberi endorsement oleh parti untuk mengambil alih kepimpinan parti sebagai presiden Umno.

"Saya percaya inilah sebahagian dari sumber kekuatan parti. Peralihan kepimpinan utama sentiasa berlaku secara berhemah dan penuh kebijaksanaan," katanya.

Tambah Annuar kepimpinan yang mengganti pemimpin parti akan terus memperkasa parti, manakala yang diganti pula akan tetap dipandang tinggi.

"Bak kata pepatah Melayu, patah tumbuh, hilang berganti," katanya


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS