Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perayaan Thaipusam: Perarakan kavadi tidak dibenarkan

Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique berkata semua kuil Hindu di seluruh negara yang bakal merayakan perayaan Thaipusam pada 18 Jan ini perlu menggunakan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, berdasarkan SOP itu perarakan kavadi tidak dibenarkan selain individu berumur bawah 18 tahun tidak dibenarkan menghadiri perayaan itu.

"Semua kuil di seluruh negara akan mengguna pakai SOP yang sama. Cuma jumlah kehadiran penganut berbeza mengikut saiz ruang kuil," katanya dalam sidang media di pejabat HRDCorp, Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Kata Halimah dia membentangkan cadangan SOP Thaipusam dalam mesyuarat kuartet menteri Covid-19 pagi.

Katanya Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein selaku ketua kuartet membentangkan cadangan yang kemudian dipersetujui oleh perdana menteri.

"Mesyuarat menetapkan SOP perayaan Thaipusam dilaksanakan bermula 16 Jan hingga 19 Jan dengan hanya upacara paal kudam bermula lebih awal iaitu pada 14 Jan hingga 19 Jan," katanya.

Had pengunjung ditetapkan

Halimah juga berkata aktiviti keagamaan sempena Thaipusam adalah tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  • Hanya penerima vaksin lengkap dan berumur 18 tahun tahun ke atas saja dibenarkan.
  • Penjarakan fizikal 1 meter dipatuhi dan pemakaian pelitup muka diwajibkan.

Katanya, aktiviti keagamaan yang lain sempena sambutan ini tertakluk kepada syarat-syarat melibatkan ruang saiz kuil.

Halimah berkata ruang kuil diluluskan dalam tiga kategori dengan Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves menjadi satu-satunya kuil dalam kategori pertama.

Empat kuil lain - Kuil Arulmigu Balathandayuthabani dan Kuil Nagarathar Thandayuthapani di George Town, Kallumalai Sri Subramaniam Alayam (Ipoh) dan Kuil Sri Subramaniyar Thevasthana Paripalana Sabah (Sungai Siput) berada dalam kategori kedua.

Kuil-kuil lain pula dimasukkan dalam kategori ketiga.

"Bagi kuil Batu Caves, sebanyak 6,000 penganut dibenarkan setiap hari pada 16 Jan, 17 Jan dan 19 Jan.

"Pada 18 Jan yang merupakan hari Thaipusam sebanyak 9,000 penganut dibenarkan.

"Setiap hari dibahagi kepada 12 sesi bermula 5 pagi hingga 5 petang dengan satu jam setiap sesi.

"Setiap sesi dibenarkan 500 penganut untuk upacara sembahyang. Tempoh 30 minit untuk upacara sembahnyang dan 30 minit lagi untuk proses sanitas, manakala pada 18 Jan, sebanyak 18 sesi dibenarkan bermula 5 pagi hingga 11 malam dengan jumlah kehadiran yang sama seperti hari lain," katanya.

Di empat kuil yang dalam kategori kedua, tidak melebihi 3,000 penganut dibenarkan setiap hari.

"Sesi upacara sembahnyang sama seperti kuil Batu Caves. Namun, jumlah penganut untuk satu sesi tidak melebihi 250 penganut sahaja

"Bagi kuil lain, tidak melebihi 500 orang setiap hari dengan 50 orang sahaja untuk satu sesi," katanya.

Berkenaan paal kudam, Halimah berkata pelaksanaan dibenarkan bermula 14 Jan hingga 19 Jan dengan had kehadiran di kuil Batu Caves tidak melebihi 100 orang pada satu-satu masa.

“Bagi empat kuil lain dibenarkan 50 orang pada satu-satu masa dan kuil lain tidak melebihi 30 orang,” katanya.

Perarakan pedati dibenar bersyarat

Namun, upacara paal kudam dibenarkan 24 jam tertakluk kepada kebenaran pihak pengurusan kuil.

Tambahnya, acara mencukur rambut dibenarkan dengan pematuhan SOP.

Upacara mandi ritual turut dibenarkan di tempat yang disediakan oleh pihak pengurusan kuil.

“Gerai jualan kekal pihak pengurusan kuil dibenarkan sementara gerai jualan sementara dalam apa bentuk untuk promosi atau jualan di kawasan kuil dan di luar kawasan kuil adalah tidak dibenarkan.

“Sumbangan makanan (annathanam) dan minuman percuma (thannir panthal) tidak dibenarkan termasuk di sepanjang laluan perjalanan kereta pedati,” katanya.

Sementara itu, Halimah berkata perarakan kereta pedati dibenarkan namun ia tertakluk dengan kelulusan daripada pihak polis.

“Bagi kuil Batu Caves hanya 100 orang iaitu pihak pengurusan kuil sahaja dibenarkan mengiringi dan ia tidak melebihi 10 lokasi perhentian.

“Empat kuil lain turut dibenarkan 100 pengiring dengan tujuh lokasi perhentian, sementara kuil-kuil lain dibenarkan 50 pengiring dan lima lokasi perhentian.

“Orang awam dibenarkan menyertai perarakan kereta pedati dan pihak pengurusan kuil yang mengiring kereta pedati wajib mendaftar dan mendapatkan tag kebenaran daripada pengurusan kuil.

“Lokasi perhentian pula perlu mendapatkan kelulusan polis,” katanya.

Tambah Halimah, hanya pihak kuil dibenarkan mendirikan khemah di laluan kereta pedati dengan saiz tidak melebihi 20 x 20 dengan warna khemah diseragamkan.

Sementara itu Saravanan berkata penganut Hindu perlu memastikan dan mematuhi segala SOP supaya tidak ada penularan Covid-19 dalam perayaan Thaipusam.

“Seperti semua, saya sendiri sedih kavadi dilarang akibat tindakan tidak bertanggungjawab beberapa individu pada Ahad, namun kita masih boleh membawa paal kudam,” katanya.

Timbalan Presiden MIC itu juga berkata kerajaan perlu mengambil kira penularan virus varian Omicron dalam menyediakan SOP kali ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS