Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Tikus hero’ Kemboja mati
Diterbitkan:  Jan 12, 2022 1:45 PM
Dikemaskini: 6:08 AM

Tikus pengesan periuk api Magawa yang dianggap sebagai "wira" Kemboja mati pada usia lapan tahun selepas berkhidmat selama lima tahun, kata pertubuhan bukan keuntungan Pembangunan Pengesanan Periuk Api Anti-Personel (APOPO) pada Selasa.

APOPO merupakan organisasi Belgium yang melatih tikus gergasi Afrika untuk menyelamatkan nyawa dengan mengesan periuk api dan penyakit batuk kering.

"Dengan dukacita kami berkongsi berita sedih bahawa HeroRAT Magawa telah mati pada hujung minggu ini," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan agensi itu.

"Magawa berada dalam keadaan sihat dan menghabiskan sebahagian besar minggu lepas bermain dan cergas seperti biasa, tetapi menjelang hujung minggu pergerakannya mulai perlahan, lebih banyak tidur siang dan kurang berminat terhadap makanan pada hari-hari terakhirnya."

Sepanjang tugasnya, Magawa mengesan lebih 100 periuk api dan bahan letupan lain, menyelamatkan banyak nyawa di Kemboja, menjadikannya "HeroRAT APOPO paling berjaya setakat ini", kata kenyataan itu.

Magawa dianugerahkan Pingat Emas PDSA pada September 2020 -- anugerah tertinggi untuk keberanian yang boleh diterima haiwan dan bersara tahun lalu, digantikan oleh HeroRAT Ronin.

Tikus gergasi Afrika itu lahir di Tanzania pada November 2013. Selepas dilatih oleh APOPO, ia dibawa ke Siem Reap di Kemboja pada 2016 untuk memulakan tugasnya, tambah laporan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS