Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mesyuarat khas Parlimen bincang isu saham bos SPRM minggu depan
Diterbitkan:  Jan 12, 2022 12:29 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Jawatankuasa Pilihan Khas bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat pada Rabu depan untuk membincangkan isu pemilikan saham syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

Ini menurut pekeliling dihantar oleh Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha kepada ahli-ahli jawatankuasa itu.

“Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan mengenai isu pemilikan saham syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM,” kata Nizam dalam pekeliling yang bertarikh 11 Januari itu.

Semua lapan anggotanya, termasuk pengerusi jawatankuasa itu, iaitu ahli parlimen PAS Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman dijemput menghadiri mesyuarat pada jam 2 petang, 19 Januari itu.

Semua ahli Parlimen berkenaan turut diminta menjalani ujian kendiri Covid-19 dengan menggunakan kaedah RTK-Ag Saliva di klinik parlimen sebelum menghadiri mesyuarat.

Surat itu dimuat naik di media sosial oleh Ahli Parlimen Kota Kinabalu dari DAP Chan Foong Hin, yang juga anggota jawatankuasa tersebut.

Chan berkata dia menerima notis yang memaklumkan mereka supaya menghadiri mesyuarat berkenaan pada pagi ini.

Ahli parlimen pembangkang sebelum ini menuntut isu melibatkan pemilikan saham Azam dirujuk kepada jawatankuasa parlimen kerana badan kawal penyelia SPRM gagal menangani perkara itu dengan sewajarnya.

Ini khususnya selepas pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Abu Zahar Ujang membersihkan Azam daripada sebarang salah laku pada 5 Januari lalu.

Sementara itu, Bernama memetik Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong, yang juga ahli jawatankuasa itu, ketika mengesahkan perkara tersebut.

Khoo berkata beliau bersama tiga lagi ahli jawatankuasa itu telah menulis surat kepada Setiausaha Dewan Rakyat meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkan isu tersebut.

"Setiausaha kemudian memaklumkan bahawa Menteri telah memberikan maklum balas dan langkah seterusnya ialah mesyuarat akan diadakan pada 19 Jan ini," katanya.

Dia berharap Azam dapat hadir untuk menjelaskan sendiri isu itu kepada jawatankuasa tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS