Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH gesa Abu Zahar, Borhan direhatkan
Diterbitkan:  Jan 12, 2022 10:48 AM
Dikemaskini: 2:52 AM

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM (LPPR), Abu Zahar Ujang direhatkan sementara sehingga siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki selesai.

Menurut mereka, ini susulan kenyataan enam ahli lembaga LPPR yang menjauhkan diri daripada kenyataan Abu Zahar apabila dia cuba "membersihkan" nama Azam.

"Kenyataan media enam Ahli LPPR ini amat mengejutkan dan membuka mata seluruh negara kepada kepincangan yang berlaku dalam proses siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"Jelas SPRM atau badan penasihat SPRM tidak boleh melakukan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya sendiri, dan siasatan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM amat diperlukan," kata Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, pemimpin DAP, Lim Guan Eng dan pemimpin Upko, Wilfred Madius Tangau.

Menurut mereka, kenyataan enam ahli LPPR ini menjadi bukti paling kukuh Abu Zahar tidak diyakini dan tidak dipercayai ahli LPPR.

"Pada masa yang sama, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Tan Sri Borhan Dolah juga perlu direhatkan sehingga siasatan yang sama selesai kerana enggan bertindak menyiasat Azam Baki," jelasnya.

Azam menjadi perhatian ramai baru-baru ini selepas timbul dakwaan dia memiliki saham dalam dua syarikat pada 2015.

Menurut laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam merupakan ketua pengarah bahagian siasatan SPRM.

Bagaimanapun, dalam sidang media pada 5 Jan lepas, Azam berkata dia tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana saham itu dibeli adiknya dengan menggunakan namanya.

Pada hari yang sama, Abu Zahar berkata Azam telah menjelaskan perkara itu kepada LPPR pada 24 Nov tahun lepas.

Abu Zahar juga mendakwa lembaga itu berpuas hati terhadap penjelasan berkenaan dan mendapati tiada sebarang kesalahan dilakukan Azam.

Bagaimanapun, kenyataan Abu Zahar itu dinafikan oleh enam ahli LPPR yang lain, dengan mengatakan ia bukan pendirian ahli-ahli lembaga itu dan Abu Zahar hanya menyatakan pendapat peribadinya.

Kepimpinan baru SPRM

Majlis Presiden PH berkata, perlu ada pimpinan baru yang bersih, profesional dan bebas untuk mengetuai LPPR dan PPPR agar kewibawaan, integriti dan kredibilit SPRM dapat dipulihkan semula.

"Majlis Presiden juga memandang serius dan perlu menegur kenyataan media tiga timbalan ketua pesuruhjaya SPRM yang menyatakan sokongan terbuka terhadap Ketua Pesuruhjaya serta membuat tuduhan motif ‘dendam politik’

"Tindakan janggal mereka secara terburu-terburu menyokong "bos" mereka dengan kenyataan terbuka menyerupai tingkah laku ahli politik dalam sebuah parti politik dan bukannya agensi terhormat seperti SPRM.

"Sebagai penjawat awam, ketiga-tiga pegawai kanan ini patut tahu bahawa kenyataan mereka boleh ditafsir sebagai percubaan mempengaruhi proses siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya, dan mengandungi tuduhan serius yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Justeru PH meminta pegawai kanan terbabit membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa itu untuk membuat siasatan secara telus.

"Kami mengulangi pendirian bahawa satu sidang khas parlimen perlu diadakan segera untuk merunding dan membincangkan isu yang amat penting ini, sebaiknya sehari sebelum atau selepas sidang khas berhubung isu banjir pada 20 Januari nanti," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS