Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pihak terlibat pemalsuan sijil vaksin akan dikenakan hukuman maksimum

Individu yang terlibat dalam pemalsuan sijil vaksinasi Covid-19 perlu dikenakan hukuman maksimum kerana tindakan itu bukan hanya mendatangkan bahaya kepada diri sendiri malah terhadap individu lain yang tidak berdosa, kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Justeru, beliau meminta pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci dalam kes berkenaan dan membawa semua yang terlibat ke muka pengadilan.

"Ini sesuatu yang susah saya hendak terima dan maafkan kerana ia menjejaskan keselamatan dan kesihatan orang ramai yang tidak berdosa.

"Saya mahu penguatkuasaan undang-undang sepenuhnya ke atas mereka dan saya mahu pastikan mereka sedar ada had bila tiba tentang keuntungan yang menjejaskan kehidupan orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas selepas mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 di Wisma Pertahanan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hishammuddin berkata hukuman yang berat perlu dikenakan terhadap individu yang menjual dan membeli sijil vaksinasi palsu bagi mencegah kegiatan sedemikian daripada merebak.

Pihak berkuasa juga perlu berada satu langkah di hadapan dalam membanteras kegiatan ini kerana bagi mereka yang inginkan keuntungan mereka akan cuba mencari jalan lain.

Setakat ini, polis hanya mengesan satu kes aktiviti penawaran sijil vaksinasi Covid-19 palsu setakat ini yang melibatkan seorang pengamal perubatan di Marang, Terengganu.

Pada Sabtu lepas, polis menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu di Marang, Terengganu.

Suspek berkenaan direman selama tiga hari bermula Sabtu sehingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan dan perintah reman suspek berkenaan disambung selama dua hari lagi sehingga esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS