Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri gesa siasat pendakwah bebas bawa jemaah umrah tak lengkap vaksin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad menggesa pihak bertanggungjawab untuk menyiasat seorang pendakwah bebas yang mendakwa membawa jemaah tidak lengkap syarat vaksinasi untuk menunaikan umrah.

Beliau yang kesal dengan perkara itu berkata kejadian tersebut sepatutnya tidak berlaku kerana antara syarat untuk menunaikan umrah mestilah lengkap divaksinasi dengan vaksin yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

"Saya amat kesal kalau berlaku perkara seperti begitu sedangkan syarat telah ditetapkan mesti lengkap divaksinasi.

"Macam mana mereka boleh lepas ke sana (Makkah)? Pihak bertanggungjawab kena siasat macam mana mereka boleh terbolos ke sana," katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan berjumlah RM338,000 kepada 338 kakitangan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menjadi mangsa banjir di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengakuan pendakwah terbabit yang membawa jemaah umrah tanpa vaksinasi.

Baru-baru ini, seorang pendakwah bebas didakwa menerusi Instagramnya tampil membuat pengakuan secara terbuka menjelaskan bahawa dia membawa jemaah yang tidak lengkap divaksinasi menunaikan umrah, serta mengaku bahawa beliau sendiri turut tidak menerima vaksin MM.

Difahamkan MM merujuk kepada vaksin Meningococcal dan Meningitis yang menjadi syarat ditetapkan Arab Saudi untuk jemaah umrah di seluruh dunia.

Sementara itu, Idris turut menasihatkan mana-mana pendakwah bebas supaya tidak menyampaikan sesuatu ilmu yang bukan menjadi kepakaran mereka dan menyarankan agar menyerahkan urusan itu kepada yang ahli.

"Saya sendiri tidak bercakap bab kesihatan dan saya percaya pakar perubatan kerana dalam agama kita diajar untuk bertanya kepada orang yang tahu jika kamu tidak tahu," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS