Perbuatan pihak tidak bertanggungjawab memalsukan sijil vaksinasi diharap dapat dihukum dengan hukuman berat.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi MCA Terengganu Chew Sir Boon, yang menyifatkan perkara berkenaan merupakan isu yang serius dan hukuman berat perlu dikenakan bagi melindungi masyarakat.
Menurutnya, penahanan enam individu bagi membantu siasatan berhubung penipuan sijil vaksinasi Covid-19 dikendalikan seorang doktor swasta di Marang, Terengganu itu menunjukkan masalah ini bukannya isu terpencil, tetapi satu masalah yang wajar dipandang serius oleh semua pihak.
"Malah, ia memberikan imej buruk terhadap kredibiliti institusi perubatan dan profesion kedoktoran di negara ini.
"Tindakan pemalsuan sijil vaksinasi ini amat tidak bertanggungjawab dan juga tidak adil kepada mereka yang betul-betul tidak boleh menerima vaksin atas sebab kesihatan. Kumpulan ini masih belum dilindungi sepenuhnya, dan mereka bergantung kepada imuniti kelompok untuk mengelakkan dijangkiti Covid-19," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Polis Terengganu menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu di Marang, dekat Kuala Terengganu, Sabtu lepas.
Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu selepas mendapat aduan awam mengenai kegiatan tersebut.
Susulan itu seramai enam individu berusia antara 35 dan 57 tahun yang disyaki menjadi ejen doktor terbabit ditahan di sekitar Marang, Dungun dan Kuala Terengganu pada Ahad lalu bagi membantu siasatan.
Sementara itu Boon berkata perbuatan mementingkan diri sendiri ini juga dilihat seperti memperlekehkan pengorbanan petugas barisan hadapan yang bekerja siang dan malam tanpa mengenal erti penat lelah untuk menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia.
Jelasnya, penjualan sijil vaksinasi palsu juga bakal menggagalkan usaha kerajaan untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.
"Adakah kita perlu sekali lagi dikenakan sekatan pergerakan sekiranya jumlah kes positif baharu mula naik secara mendadak?
'Oleh itu, mereka yang menjual sijil vaksinasi palsu ini, bermuhasabahlah. Janganlah kerana mahu mengaut keuntungan semata-mata, negara terpaksa menanggung akibatnya.
"Bagi mereka yang membeli sijil vaksinasi ini, ambillah vaksin kerana vaksin telah terbukti cara terbaik untuk menangani Covid-19, tambahan pula dengan munculnya varian baharu seperti Omicron yang dikatakan lebih mudah berjangkit. Lindungilah diri demi manfaat semua," katanya.
Tambahnya, pihak berwajib juga digesa bersikap lebih tegas terhadap kumpulan antivaksin dan kumpulan yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan atau memiliki sijil vaksinasi palsu ini.
"Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit boleh digubal untuk memasukkan hukuman yang lebih berat serta denda yang lebih tinggi terhadap sesiapa yang membeli atau memalsukan sijil vaksinasi.
"Langkah ini diharapkan dapat mengelakkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab daripada membahayakan seluruh rakyat," kata Boon.