Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas tentera kecewa bantuan lembab di Sri Muda

Waktu itu sekitar akhir Disember 1970. Langit gelap-gelemat ketika anggota Rejimen Kedua Peninjau selesai memuatkan catuan makanan ke dua buat bot gempur di sebuah jeti kecil di Pekan, Pahang.

Jam di tangan kiri Leftenan Muda Kung Boon Chin menunjukkan 10 minit lagi masuk jam 8 malam. Tetapi hujan yang lebat sejak pagi, belum menunjukkan tanda-tanda akan reda.

Mereka akan menyusuri Sungai Pahang, yang pada ketika itu sudah pun melimpah dan menenggelami beberapa buah kampung di bandar diraja itu.

Askar-askar berpakaian seragam celoreng itu tahu, menyusuri sungai dengan menaiki bot dalam keadaan gelap-gelita adalah berbahaya, lebih-lebih lagi dengan banyak kayu dan pokok-pokok tercabut yang sedang hanyut dibawa arus banjir.

Namun, mereka juga tahu mereka menggalas amanah besar - menyampaikan catuan makanan kepada mangsa yang berlindung di beberapa pusat pemindahan selepas orang ramai kehilangan tempat tinggal oleh banjir yang mengganas, yang menjadi episod banjir terburuk di negara ini untuk berdekad lamanya.

“Kami sepatutnya menyampaikan makanan dan bekalan lain kepada penduduk kampung yang kami pindahkan ke tanah lebih tinggi sebelum banjir bermula.

“Bahaya untuk bergerak, terutamanya pada malam hari. Tapi kami tak ada pilihan. (Jika) Menangguhkan misi, bermaksud mangsa-mangsa banjir akan kelaparan sedangkan kami sudah berjanji untuk membantu mereka.

“Jadi, dengan hanya berbekalkan lampu suluh sebagai penunjuk jalan, kami perlahan-lahan menyusuri Sungai Pahang dan mengharungi banjir dan serpihan kayu,” kata Kung dalam satu temu bual bersama Malaysiakini baru-baru ini.

Kung, yang bersara 10 tahun kemudian dengan pangkat kapten, mengimbas waktu dia memainkan peranan ketika negara berdepan salah satu episod banjir terburuk, yang menyebabkan puluhan ribu orang hilang tempat berteduh, manakala lebih 20 orang terkorban.

Kini menjadi seorang usahawan, dia berkongsi kepada Malaysiakini tentang pengalamannya selepas melihat usaha menyelamat yang perlahan ketika banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Terputus bantuan luar

Menurut Kung, pernah terjadi, pasukannya seramai 26 orang askar terputus hubungan dengan bantuan luar selepas jambatan lama Temerloh dihanyutkan banjir.

Hanya tinggal mereka dan pasukan polis tempatan bersama-sama beberapa orang penjawat awam di Pejabat Daerah Pekan, untuk menguruskan beberapa ribu mangsa banjir.

Dengan kudrat dan peralatan menyelamat yang terhad, mereka berdepan pula dengan masalah bekalan makanan yang kian berkurangan.

“Dulu, tentera tak ada banyak helikopter macam hari ini. Yang ada pun, tak boleh terbang dalam keadaan cuaca buruk ketika itu.

“Jadi, apabila bekalan makanan makin habis, kami memikirkan macam mana nak cukupkan supaya semua mangsa tak akan kebuluran.

“Pada ketika inilah, pegawai daerah dan saya membuat keputusan untuk meminjam barang-barang seperti beras dan makanan dalam tin daripada kedai-kedai runcit di sekitar Pekan.

“Kami terpaksa buat macam ini, dan berjanji kepada kedai-kedai itu bahawa kerajaan akan bayar balik kemudian. Kerana bekalan yang kami ada tak akan bertahan meskipun untuk beberapa hari.”

Peranan Kung dalam operasi bantuan banjir di Pekan telah menyebabkan dia dianugerahi 'Kepujian Perutusan Keberanian', yang merupakan pengiktirafan kerajaan kepada anggota polis dan tentera.

Veteran askar itu percaya anugerah itu adalah daripada syor perdana menteri ketika itu Abdul Razak Hussein, berdasarkan kenyataan orang-orang kampung yang menyaksikan sendiri bakti pasukannya semasa bencana itu.

Menurut Kung, perdana menteri ketika itu yang juga ahli parlimen Pekan, pulang ke kawasannya untuk memantau keadaan banjir dan memberikan bantuan kepada penduduk kampung yang dilanda bencana.

Ketika itu dia berpeluang memberikan taklimat kepada Razak, yang meminta taklimat itu dibuat “tanpa sebarang kekangan” (no-holds barred briefing) tentang situasi yang sebenar.

Bantuan politik

“Saya beritahu PM bahawa berdasarkan penilaian rejimen kami, keadaan banjir akan menjadi lebih buruk meskipun ramalan cuaca menjangkakan cuaca akan bertambah baik, kerana hari pertama kalendar Cina semakin menghampiri dan air pasang dari laut akan masuk ke Pekan - jadi air banjir tak akan dapat mengalir keluar ke laut.

“Perdana menteri sangat bimbang dan bertanya apa yang saya perlukan. Saya beritahu dia yang kami tidak cukup makanan, khemah, tenaga kerja dan bot untuk membantu penduduk kampung. Kami perlukan bantuan tambahan segera,” kata Kung.

Tambahnya, Razak kemudian mengucapkan terima kasih kepada pasukannya atas kerja mereka dan berjanji untuk menghantar bantuan tambahan secepat mungkin.

Yang mengejutkan Kung, dia kemudiannya dihubungi sebuah kapal perang British, HMS Sir Lancelot, yang diarahkan untuk menyampaikan bantuan ke Pekan.

Menurutnya, bantuan itu disampaikan susulan satu permintaan oleh kerajaan Malaysia kepada kerajaan British.

Kapal perang British itu mengerahkan pasukan askar bersama-sama helikopter dan bot getah mereka untuk menyampaikan bekalan makanan. Mereka turut membantu memindahkan mangsa dan menyampaikan bantuan perubatan.

Jadi teladan

Ketika mengimbau pengalamannya mengendalikan operasi banjir, Kung tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya berkenaan bagaimana banjir di Selangor baru-baru ini dikendalikan, secara khususnya di kawasan Sri Muda.

Dia mempersoalkan tahap kesediaan agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam pengurusan bencana, yang katanya boleh ditambah baik.

Pada tahun 1971, kata Kung, banjir hanya melanda menjelang pertengahan kedua Disember tetapi askar-askar diberitahu untuk membuat persediaan jauh lebih awal.

Mereka yang berada di Kuantan, seperti dirinya dan pasukannya, dibekukan cuti seawal November dan diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.

“Kami siapkan semua persediaan yang boleh dibuat dahulu. Ini termasuklah memeriksa stor operasi bantuan banjir, bot gempur, motor sangkut, jaket keselamatan, set radio, pek makanan tentera (field ration), kit perubatan, tali keselamatan, khemah dan pelaung suara (loud hailers).

“Kawasan-kawasan terdedah banjir dikenal pasti pada peta kami, dan beberapa pasukan daripada rejimen kami dihantar awal untuk memantau situasi dan bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk merancang misi bantuan banjir.

“Bahkan, kami simpan rekod pemantauan cuaca setiap hari.”

Kung berkata pasukannya dihantar sebelum banjir bermula, dan mereka mula memindahkan penduduk kampung sebelum berlakunya bencana.

Tegasnya, pihak berkuasa tidak patut menunggu untuk memindahkan mangsa-mangsa sedangkan mereka sudah pun terpaksa memanjat bumbung rumah untuk menyelamatkan diri daripada air banjir.

Kung mencadangkan agar kerja-kerja tindak balas bencana dikembalikan kepada pasukan tentera dan polis, yang katanya mempunyai aset dan pengalaman yang cukup untuk menjalankan tugas itu.

“Kita tak seharusnya ada ahli politik yang memberikan arahan tentang operasi bencana. Kalau buat begitu, maka terjadilah bencana.

“Ahli politik boleh menerima taklimat tentang operasi, tetapi arahan itu sendiri harus diberikan kepada pasukan berseragam kerana mereka tahu apa yang hendak dibuat dan bagaimana untuk melaksanakannya,” katanya.

Kung berkata kerajaan harus menyemak semula program tebatan banjir dan melibatkan penduduk tempatan dalam perancangan mereka.

Katanya, penduduk tempatan mengetahui dengan lebih baik tentang situasi di tempat mereka, dan boleh memberikan nasihat sewajarnya kepada kerajaan.

“Kita tak halang hujan mahupun bencana daripada berlaku, tetapi kita sentiasa boleh menjadi lebih bersedia bagi memastikan rakyat tidak menderita,” katanya.

[Baca laporan asal]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS