GLOBAL | Seorang lelaki Amerika Syarikat yang tenat menghidap penyakit jantung telah mendapat pemindahan jantung babi yang diubah suai secara genetik dalam pembedahan pertama seumpama itu di dunia.
Tiga hari kemudian pesakit itu dalam keadaan baik, lapor doktornya pada hari Isnin.
Pembedahan itu, yang dilakukan oleh pasukan perubatan University of Maryland Medicine, antara yang pertama menunjukkan kebolehlaksanaan pemindahan jantung babi kepada manusia, bidang yang dimungkinkan oleh alat baru penyuntingan genetik.
Jika terbukti berjaya, saintis berharap organ babi dapat membantu mengurangkan kekurangan organ penderma oleh manusia.
“Ini satu kejayaan cemerlang dalam pembedahan dan membawa kita selangkah lebih dekat untuk menyelesaikan krisis kekurangan organ.
“Jantung manusia daripada penderma tidak mencukupi untuk memenuhi senarai panjang bakal penerima,” kata Dr Bartley Griffith - yang memindahkan jantung babi ke dalam tubuh pesakit itu melalui pembedahan - pada satu kenyataan.
"Kami meneruskan ini dengan berhati-hati, tetapi kami juga optimis bahawa pembedahan pertama di dunia ini akan menyediakan pilihan baru yang penting untuk pesakit pada masa hadapan," tambah Griffith.
Bagi David Bennett (gambar, atas) dari Maryland, 57 tahun, pemindahan jantung berkenaan merupakan pilihan terakhirnya.
"Sama ada saya mati atau melakukan pemindahan ini. Saya mahu hidup. Saya tahu ia percubaan tanpa hasil yang pasti, tetapi ia pilihan terakhir saya," kata Bennett sehari sebelum pembedahannya, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh universiti itu.
Untuk meneruskan pembedahan uji kaji, universiti itu memperoleh kebenaran kecemasan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS pada malam tahun baru melalui program amalnya.
"FDA menggunakan data kami dan data kami mengenai babi eksperimen untuk membenarkan pemindahan kepada pesakit jantung peringkat akhir yang tidak mempunyai pilihan rawatan lain," kata Dr Muhammad Mohiuddin, yang mengetuai program universiti berkenaan mengenai pemindahan xenotransplantasi - pemindahan organ haiwan ke dalam tubuh manusia itu.
Kira-kira 110,000 rakyat AS sedang menunggu pemindahan organ, dan lebih daripada 6,000 pesakit meninggal dunia setiap tahun sebelum mendapatnya, menurut organdonor.gov.
Jantung babi yang diubah suai secara genetik untuk Bennett disediakan oleh Revivicor, sebuah syarikat ubat regeneratif yang berpangkalan di Blacksburg, Virginia. Pada pagi pembedahan, pasukan pemindahan mengeluarkan jantung babi dan meletakkannya ke dalam alat khas untuk mengekalkan fungsinya sehingga pembedahan.
Babi telah lama menjadi sumber pemindahan berpotensi yang menarik kerana organ mereka sangat serupa dengan manusia. Jantung babi pada usia penyembelihan, misalnya, adalah kira-kira sama saiz jantung manusia dewasa.
Organ lain daripada babi yang sedang dikaji untuk pemindahan ke dalam tubuh manusia termasuk buah pinggang, hati dan paru-paru.
Usaha sebelum ini untuk memindahkan organ babi ke dalam tubuh manusia telah gagal kerana perbezaan genetik yang menyebabkan penolakan organ atau virus yang menimbulkan risiko jangkitan kepada penerima.
Para saintis telah menangani masalah itu dengan menyunting genetik babi yang berpotensi berbahaya kepada manusia.
Di dalam jantung yang dipindhakan kepada Bennett, tiga genetik yang sebelum ini dikaitkan dengan penolakan organ telah "dibuang" daripada babi penderma, dan enam genetik manusia yang dikaitkan dengan penerimaan imun telah 'ditampal' masuk ke dalam genom babi.
Penyelidik juga memadamkan genetik babi untuk menghalang pertumbuhan berlebihan tisu jantung babi.
Kerja itu dibiayai sebahagiannya dengan geran penyelidikan AS$15.7 juta untuk menilai kajian jantung babi yang diubah suai secara genetik oleh Revivicor ke dalam babun.
Sebagai tambahan kepada perubahan genetik dalam jantung babi, Bennett menerima ubat eksperimen antipenolakan organ yang dibuat oleh Kiniksa Pharmaceuticals yang berpangkalan di Lexington, Mass.
Laporan oleh Julie Steenhuysen; suntingan oleh Bill Berkrot.
- Reuters