Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramai nak jadi nombor satu, tapi majoriti satu kerusi DUN tak disukai - MB Johor
Diterbitkan:  Jan 10, 2022 10:20 PM
Dikemaskini: 2:31 PM

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad hari ini berkata beliau tidak pernah mengumumkan sebarang keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor berkata kerajaan Johor masih memantau dan melihat keadaan semasa berhubung keperluan untuk mengadakan PRN.

“Saya masih berpendapat bahawa saya perlu lihat keadaan apabila kerajaan negeri hanya ada satu majoriti, walaupun ramai suka jadi nombor satu, tetapi Johor tidak suka istilah itu (kelebihan hanya satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN)).

“Kalau ada pihak yang mengatakan bila hendak PRN, ataupun ada kemungkinan sudah ada tarikh untuk Pilihan Raya Kecil atau PRN, seingat saya, sebagai menteri besar tidak pernah mengumumkan sebarang keputusan selain daripada melihat dan meninjau kemungkinan apabila Johor hanya ada satu majoriti sahaja,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Anugerah Keusahawanan Johor, di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa PRN akan diadakan dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut itu turut menjelaskan setakat ini, sokongan daripada rakan-rakan gabungan dalam kerajaan negeri juga tidak berbangkit.

Johor mempunyai kelebihan hanya satu kerusi di DUN susulan kematian Adun Kempas Datuk Osman Sapian pada 21 Dis tahun lepas.

Kerajaan negeri yang kini dipimpin Barisan Nasional mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11), PAS (satu) dengan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan mempunyai 27 kerusi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS