mk-logo
Berita
Hamas tangkap suspek bunuh ahli akademik Palestin di M'sia
Diterbitkan:  Jan 10, 2022 5:28 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Seorang suspek ditahan berhubung pembunuhan seorang ahli akademik Palestin pada 2018 di Malaysia, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri yang dikendalikan Hamas pada Ahad.

Pada April 2018, Fadi al-Batsh, seorang jurutera penyelidik yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas, maut ditembak berhampiran rumahnya di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur, oleh dua lelaki bersenjata yang melarikan diri dari tempat kejadian.

Meskipun keluarganya menuduh agensi perisik Israel Mossad yang melakukan pembunuhan itu, Menteri Pertahanan Israel ketika itu Avigdor Lieberman menafikan penglibatan Israel dalam kejadian itu.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Iyad al-Buzom memberitahu sidang akhbar di Kota Gaza bahawa suspek mengaku beliau direkrut oleh Mossad.

Media Israel menggambarkan al-Batsh sebagai "seorang jurutera Hamas dan pakar dalam pembuatan dron", memberi bayangan kemungkinan Mossad memainkan peranan dalam kematiannya.

Israel dipercayai telah membunuh ramai aktivis Palestin sebelum ini, kebanyakannya di luar negara, lapornya.

Pada 1997, ejen Mossad gagal dalam percubaan untuk membunuh ketua politik Hamas Khaled Meshaal di Jordan dengan menyembur racun ke telinganya.

Mossad juga dipercayai menjadi dalang dalam pembunuhan komander tertinggi Hamas Mahmud al-Mabhuh pada 2010 di sebuah hotel di Dubai.

Israel tidak pernah mengesahkan atau menafikan penglibatannya dalam pembunuhan Mabhuh, tambah kenyataan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS