Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siasatan kes ugut gambar bogel: Kris Dayanti didenda RM80
Diterbitkan:  Jan 10, 2022 4:13 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Bermula dengan siasatan kes ugutan diterima seorang remaja lelaki yang dipaksa membayar sejumlah wang bagi mengelak gambar bogelnya tersebar, seorang pekerja kilang akhirnya didenda RM80 oleh mahkamah hari ini.

Kris Dayanti,22, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar kerana gagal memberikan penjelasan memuaskan mengenai kewujudan RM50 dalam akaun banknya.

Siasatan berkenaan dibuat pada Julai lalu selepas polis menerima aduan berkenaan.

Menurut laporan Utusan Online, remaja lelaki berkenaan - yang berusia 16 tahun - dipaksa membayar wang apabila gambar bogelnya diperolehi seorang wanita melalui aplikasi MiChat.

Mangsa dikatakan berkenalan dengan wanita terbabit pada jam 3 pagi, 27 Julai tahun lalu sebelum mereka berhubungan menggunakan panggilan video melalui aplikasi WhatsApp.

Takut dengan ugutan berkenaan, remaja lelaki itu membuat pindahan wang berjumlah RM50 ke dalam akaun bank wanita terbabit pada pukul 4 petang hari yang sama.

Dia bagaimanapun dipaksa sekali lagi untuk membuat pindahan wang berjumlah RM500.

Mohon hukuman ringan

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi, mengemukakan pertuduhan ke atas Kris Dayanti mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Jika disabitkan kesalahan dia boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kris Dayanti kemudian mengaku salah atas pertuduhan yang dikenakan dan majistret Mohd Shazmeer Zamhari kemudian menjatuhkan hukuman denda RM80 ke atas wanita berusia 22 tahun itu.

Dia berdepan hukuman penjara 10 hari jika gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, Kris Dayanti kerana didapati dalam akaun Maybank miliknya ada wang berjumlah RM50 dan dia gagal memberikan keterangan memuaskan berhubung pemilikan wang tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 4.15 petang pada 27 Julai 2021 di Maybank Kuala Kangsar.

Kris Dayanti - yang tidak diwakili peguam - memohon agar dikenakan hukuman ringan kerana sudah beberapa kali disiasat bagi kes sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS