Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Tak timbul isu Muhyiddin tak periksa latar belakang Azam’
Diterbitkan:  Jan 10, 2022 4:07 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Bekas pegawai kanan kepada Muhyiddin Yassin berkata, tidak timbul isu sama ada bekas perdana menteri tersebut ada membuat semakan latar belakang terhadap ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki atau tidak, sebelum pelantikannya dicadangkan.

Menulis di Facebook, Marzuki Mohamad yang pernah berkhidmat sebagai ketua setiausaha sulit Muhyiddin berkata, hal itu memandangkan pelantikan Azam oleh Yang di-Pertuan Agong telah dibuat mengikut prosedur ditetapkan di bawah perkhidmatan awam.

“Azam Baki adalah timbalan ketua pesuruhjaya SPRM sebelum beliau dilantik sebagai ketua pesuruhjaya.

“Saya percaya sebagai pegawai tinggi kerajaan yang sedang dalam perkhidmatan, beliau tertakluk kepada semua syarat dan proses ini sebelum dan selepas pelantikan dibuat.

“Jadi tidak timbul soal samada perdana menteri kelapan membuat semakan latar belakang pegawai sebelum pelantikan dibuat.

“Proses pelantikan dibuat secara teratur mengikut peraturan dan kaedah yang ditetapkan,” katanya.

“Sebarang isu yang timbul selepas itu hendaklah ditangani menurut peruntukan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa,” tambahnya.

Marzuki mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman yang semalam dilaporkan mempertikaikan sama ada Muhyiddin ada memeriksa latar belakang Azam sebelum memberi nasihat berkenaan pelantikannya kepada Agong atau sebaliknya.

Kenyataan Azalina itu dibuat susulan kontroversi yang melanda Azam berhubung pemilikan saham, selepas dia mengaku adiknya Nasir Baki menggunakan akaun perdagangan miliknya untuk membeli lebih dua juta saham dan waran dua syarikat pada 2015 dan 2016.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang telah membersihkan Azam daripada sebarang salah laku, namun anggota panel LPPR yang lain kemudian mendakwa pendirian tersebut hanyalah pandangan peribadi Abu Zahar.

Dalam mempertahankan Muhyiddin, Marzuki berkata ketua pesuruhjaya SPRM itu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri - yang menerima syor daripada ketua setiausaha negara atau mana-mana pihak yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

“Syor ini diangkat kepada perdana menteri dalam bentuk kertas cadangan pelantikan pegawai yang mana di dalamnya terdapat laporan mengenai kelayakan pegawai dan justifikasi pelantikan.

“Terdapat proses tertentu dalam perkhidmatan awam yang menentukan kelayakan seseorang pegawai untuk dilantik ke mana-mana jawatan. Ini termasuk proses tapisan keselamatan dan keutuhan yang dibuat oleh pelbagai agensi dari masa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, bagi pegawai yang sedang berkhidmat, mereka tertakluk kepada pelbagai peraturan dan syarat termasuk pengisytiharan harta.

Suruhanjaya Sekuriti berkata mereka akan berhubung dengan Azam berhubung pengakuannya itu, sementara semua ketiga-tiga orang timbalan ketua pesuruhjaya mendakwa serangan ke atas Azam itu bermotifkan politik dendam bagi menjatukan kredibiliti SPRM.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS