Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RMK12: KDN lulus 21 projek bernilai lebih RM550 juta - Hamzah
Diterbitkan:  Jan 10, 2022 3:21 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan sebanyak 21 projek kementerian berkenaan bernilai RM558.7 juta dalam Rancangan Malaysia ke-12.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata daripada 21 projek yang diluluskan itu, 10 daripadanya adalah projek-projek pembangunan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala 11 lagi berada di bawah agensi lain KDN.

Beliau berkata kos projek melibatkan PDRM adalah dianggarkan bernilai RM326.8 juta.

“Sebanyak 10 projek PDRM berkenaan antaranya akan membina 18 pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di Selangor, pembinaan Balai Polis Kuala Penyu di Beaufort, Sabah serta pembinaan 10 kuarters Balai Polis Pulau Redang di Terengganu.

“Selain itu, perolehan tanah bagi pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan IPK Perak,” katanya dalam sidang media selepas hadir majlis perasmian Pecah Tanah Pembinaan Pejabat dan Pusat Latihan Unit Tindakhas PDRM, di Kem Batalion 4, PGA, di Semenyih, hari ini.

amzah berkata 11 lagi projek antaranya melibatkan Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Menurutnya, dua pos dan kuarters imigresen akan dibina di Telok Melano dan Bau, manakala Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Tebedu, Sarawak.

“Selain itu, untuk Jabatan Penjara antaranya melibatkan pembinaan Kompleks Latihan Tenun Pahang Diraja di Penjara Penor dan menaik taraf Pusat Asingan Penempatan Banduan, Blok Peralihan dan Blok Penempatan di Penjara Simpang Renggam, Johor,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata Maritim akan menaik taraf Lapang Sasar Akademi Sultan Ahmad Shah di Pahang manakala di ESSCom melibatkan pembinaan tiga pos iaitu di Manalunan, Simanggaris dan Kuala Meruap, Sabah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS