Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ummah pun mahu Azam bercuti demi integriti SPRM
Diterbitkan:  Jan 10, 2022 1:55 PM
Dikemaskini: 5:55 AM

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dalam isu saham yang dikaitkan dengan Azam Baki dan mengarahkan pegawai tertinggi agensi antirasuah berkenaan bercuti seketika.

Pengerusi Ummah Mohd Zai Mustafa berkata ekoran isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang Azam perlu diberikan cuti sepanjang tempoh siasatan dijalankan.

Katanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pegawaina mestilah sentiasa dilihat bersih, bebas serta berintegriti tinggi.

"Selagi Azam masih menerajui SPRM dalam keadaan dia juga mempuyai kes dalam siastan, keadaan itu meletakkan institusi antirasuah berkenaan dalam dilema, tidak bebas dan hilang kepercayaan rakyat.

"Ini juga akan melibatkan hilangnya kepercayaan rakyat kepada kepimpinan kerajaan khususnya perdana menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azam kini berdepan dakwaan pemilikan saham syarikat awal yang tersenarai di Bursa Malaysia. Bagaimanapun ketua pesuruhjaya SPRM itu mendakwa saham tersebut adalah milik adiknya, Nasir.

Kata Azam, Nasir membeli saham tersebut menggunakan akaun dagangan sahamnya.

Timbul perspektif negatif

Dia menjadi perhatian ekoran pemilihan 1.9 juta unit saham dalam Gets Global Bhd (sebelumnya dikenali sebagai KBES Bhd) pada 30 April 2015. Ketika itu saham tersebut bernikai kira-kira RM772,000. 

Sahamnya itu kemudian menurun kepada 1,029,500 unit setakat 31 Mac 2016 dan ketika itu bernilai kira-kira RM340,000.

Azam juga memiliki 2.156 juta waran dalam syarikat Excel Force MSC Bhd pada Mac 2016.

Sebelum Ummah, sudah ada pelbagai pihak dan pertubuhan menggesa Azam bercuti sementara bagi mengelak sebarang pengaruh atau gangguan terhadap siasatan pihak berkuasa.

Mohd Zai berkata berdasarkan penelitian kenyataan dibuat Azam pada 5 Jan lalu serta enam anggoat Lembaga Penasihat Rasuah (LPPR) SPRM tiga hari kemudian, wujud sesuatu yang mencurigakan.

"Perbuatan Azam sebagai ketua pesuruhajaya menimbulkan perspektif yang sangat negatif kepada institusi SPRM sendiri.

"Ummah akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi mendesak agar diarahkan siasatan teliti dibuat segera," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS