Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Benarkan pengeluaran KWSP tindakan tidak bermoral’
Diterbitkan:  Jan 10, 2022 11:57 AM
Dikemaskini: 3:57 AM

Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin menyifatkan usaha supaya membenarkan Pengeluaran i-Citra RM10,000 wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mereka yang terjejas dalam bencana banjir baru-baru sebagai tindakan tidak bermoral.

Malah katanya, tidak ada hujah ekonomi dan moral untuk membolehkan pencarum supaya berbuat demikian.

“Ini adalah simpanan hari tua bukan simpanan atau pelaburan biasa.

“Kerajaan sepatutnya menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada rakyat dan bukannya memaksa mereka mengali wang simpanan persaraan mereka.

“Akibat keputusan melulu (oleh kerajaan Perikatan Nasional dan kemudiannya, kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ sekarang) untuk membenarkan pengeluaran (simpanan KWSP) tahun lalu, ramai pencarum akan menghadapi masa depan yang suram,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Kadir, adalah tidak bertanggungjawab, tidak bermoral dan memalukan jika kerajaan memaksa pencarum KWSP menggunakan apa sahaja baki simpanan persaraan mereka dan kemudian mendakwa ia sebagai bantuan kerajaan.

“Dasar itu akan menghantui Malaysia dalam masa terdekat apabila negara beralih daripada status negara yang penduduknya meningkat tua (ageing nation) kepada status negara penduduk tua (aged nation) menjelang 2030,” katanya.

Isu pengeluaran khas i-Citra RM10,000 secara sekali keluar itu terus hangat diperkatakan apabila terdapat beberapa pihak mengasak kerajaan supaya membenarkan pengeluaran tersebut untuk meringankan beban mereka yang terjejas dalam musibah banjir.

Ini khususnya oleh pemimpin Umno seperti presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki serta bekas perdana menteri, Najib Razak.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran i-Citra KWSP bagi kali kedua berikutan kerajaan memperuntukkan pelbagai bantuan termasuk kewangan untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Selain bantuan wang ihsan RM1,000, kerajaan turut memberikan baucar tunai bernilai RM500 kepada setiap keluarga mangsa banjir bagi pembelian barangan elektrik, pemberian diskaun dan baucar tunai RM1,000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan yang terkesan dalam banjir dan bantuan tunai sehingga RM5,000 untuk pembaikan rumah yang mengalami kerosakan tidak serius.

Bagi rumah yang mengalami kerosakan serius, kerajaan akan mengurus baik pulih dengan kos sehingga RM15,000 dan bagi rumah yang musnah, peruntukan sehingga RM56,000 untuk setiap unit rumah yang dibina baharu.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberikan wang tunai RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing-masing.

KWSP dalam kenyataan baru-baru ini pula menyebut skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada tahun 2020, diikuti oleh i-Citra pada Julai 2021, adalah bersifat luar biasa kerana inisiatif itu diperkenalkan semata-mata untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.

Mengulas lanjut, Kadir berkata adalah dianggarkan lapan daripada setiap 10 ahli KWSP akan bersara dalam kemiskinan.

“Simpanan purata bagi kumpulan 40 peratus terbawah (B40) berkurangan sebanyak 61 peratus kepada hanya RM1,000 dan simpanan purata kumpulan pertengahan yang dianggarkan berjumlah 40 peratus (M40) pula susut sebanyak 17 peratus kepada RM24,000.

“Kerajaan, pencarum dan majikan mereka harus mencari jalan untuk mengembalikan sekurang-kurangnya sebahagian daripada jumlah yang dikeluarkan.

“Menteri Kewangan sepatutnya berasa malu kerana mengambil jalan pintas yang mahal ini,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS