Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TI-M gesa badan bebas siasat Azam Baki
Diterbitkan:  Jan 9, 2022 9:16 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Transparency International-Malaysia (TI-M) menggesa siasatan bebas dijalankan berhubung isu pegangan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, berikutan kenyataan bercanggah mengenai perkara itu.

Presiden TI-M, Muhammad Mohan Abdullah dalam satu kenyataan memetik kenyataan berasingan oleh pengerusi Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM (LPPR) Abu Zahar Ujang, yang membersihkan Azam daripada dakwaan salah laku, manakala ahli LPPR lain pula mendakwa pandangan itu adalah pendapat peribadi Abu Zahar.

“Kami menggesa kerajaan untuk melantik badan penyiasatan bebas yang terdiri daripada individu yang layak dan bebas untuk mendedahkan fakta kes dan menentukan sama ada mana-mana undang-undang atau peraturan telah dilanggar.

"Badan sedemikian sepatutnya bertanggungjawab kepada dan hendaklah melaporkan penemuan mereka kepada Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai rasuah untuk semakan dan cadangan.

“Siasatan bebas sebegini juga akan memberi peluang kepada Azam Baki untuk membela diri berhubung dakwaan yang dilemparkan terhadapnya dan bagi menjaga nama baik SPRM," kata Mohan dalam kenyataan, hari ini.

Mohan menegaskan hanya tindakan segera yang tegas dan ketelusan daripada kerajaan akan membantu melindungi integriti SPRM selain memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

"Memandangkan bagaimana peristiwa dan kenyataan mengenai perkara ini telah didedahkan kepada umum, rakyat berhak mengetahui kebenaran," katanya lagi.

Terdahulu ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri - Chan Foong Hin (Pakatan Harapan-Kota Kinabalu), Khoo Poay Tiong (Pakatan Harapan-Kota Melaka), Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) dan William Leong (Pakatan Harapan-Selayang) - mengeluarkan kenyataan bersama mempersoal kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dilihat membela Azam.

Mereka mendakwa Wan Junaidi bagaikan memperkecilkan skandal yang dikaitkan dengan Azam apabila mendakwa nilai saham pada masa pembeliannya mampu dibeli orang nombor satu SPRM itu.

Menurut laporan tahunan 2015 Excel Force Bhd, Azam memiliki 2,156,000 saham dalam syarikat itu pada 21 Mac 2016. Pada masa itu, Azam adalah ketua bahagian siasatan SPRM.

Dalam sidang media pada Rabu, Azam berkata dia telah memberitahu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun banknya telah digunakan oleh adiknya, Nasir untuk memperoleh saham dalam kedua-dua syarikat itu pada 2015.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata mereka akan menghubungi Azam berhubung pengakuannya, manakala ketiga-tiga timbalan pesuruhjaya SPRM mendakwa serangan itu "bermotifkan politik" terhadap badan itu itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS