Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib dan Azam ada persamaan, kleptokrasi mungkin kembali - Kit Siang
Diterbitkan:  Jan 9, 2022 5:42 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menggambarkan persamaan antara kelakuan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak berhubung skandal 1MDB dan sikap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki terhadap kontroversi pemilikan sahamnya, menyatakan kebimbangan bahawa negara mungkin akan kembali menjadi kleptokrasi.

Lim berkata Najib dalam ucapan pada majlis Makkal Sakthi Malaysia semalam meletakkan dirinya sebagai seorang yang jujur ​​yang tidak mahu menjanjikan perkara yang tidak dapat dicapai dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan terpaksa "membayar harga" untuknya.

"Tidak sebut langsung mengenai skandal 1MDB, yang digambarkan oleh Peguam Negara AS pada masa itu, Jeff Sessions, pada forum global mengenai pemulihan aset pada Disember 2017 sebagai 'kleptokrasi paling teruk' dengan Jabatan Kehakiman AS berusaha untuk memberikan keadilan kepada mangsa skandal 1MDB.

"Saya dapati ia adalah sesuatu yang di luar realiti ketika Najib meratapi nasibnya kerana bersikap jujur, sementara seorang hakim AS menetapkan tarikh pada Februari untuk perbicaraan rasuah 1MDB terhadap bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng," kata Lim dalam satu kenyataan.

Lim berkata sindrom penafian itu juga dilihat dalam jawapan Azam.

"Azam Baki, yang semalam berikrar untuk menentang dakwaan salah laku, bahawa dia 'masih bekerja dan tidak bercuti', sedangkan selama lebih dua bulan, SPRM mahupun Perdana Menteri Ismail Sabri, tidak melakukan apa-apa berhubung dakwaan konflik kepentingan yang serius terhadap Azam.

"Sama seperti Azam, Najib mendakwa bahawa dia boleh 'tidur nyenyak pada waktu malam' dan bercakap tentang moral dan etika tanpa menyebut skandal 1MDB sama sekali.

"Inilah yang dihadapi negara, dan akan menjadi satu-satunya isu terbesar dalam PRU ke-15 - Malaysia mungkin kembali kepada kleptokrasi, bahan cemuhan antarabangsa, dengan keputusan bersejarah PRU ke-14 pada 9 Mei 2018 telah memberi peluang untuk menyelamatkan Malaysia," kata Lim.

Pemilikan berjuta-juta saham Azam dalam dua firma senaraian awam pada 2015 menimbulkan persoalan sama ada ia sepadan dengan pendapatannya sebagai penjawat awam dan kebimbangan konflik kepentingan.

Azam mendakwa saham itu dibeli adiknya menggunakan akaunnya dan menafikan sebarang salah laku.

Bagaimanapun, penjelasan itu menarik perhatian Suruhanjaya Sekuriti kerana kemungkinan penyalahgunaan akaun dagangan.

"Peristiwa beberapa hari lepas adalah raptai apa yang dijangka dalam PRU ke-15 yang mana pucuk pimpinan Umno mahu diadakan segera," kata Lim.

Lim berkata negara telah mengalami kemerosotan dalam tempoh 50 tahun lepas, kalah kepada Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan Vietnam.

“Adakah kita akan terus merosot dan melihat Indonesia dan Filipina mengatasi kita dalam dekad akan datang?

"Kita mesti bangkit, hentikan kemerosotan kita dan berusaha menjadi negara hebat bertaraf dunia. Kita tidak boleh kembali menjadi kleptokrasi, berakhir sebagai kakistokrasi dan negara gagal.

“Inilah maksud PRU ke-15 – sama ada untuk kembali menjadi kleptokrasi atau mengambil langkah awal untuk menjadi negara hebat bertaraf dunia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS