mk-logo
Berita
Anggota PSC kesal Wan Junaidi seakan membela Azam Baki
Diterbitkan:  Jan 9, 2022 3:53 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Ahli parlimen pembangkang kesal dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengulas kes pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Mereka yang juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khasa Parlimen (PSC) bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri mendakwa kenyataan Wan Junaidi seakan memperkecil "skandal" Azam.

Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani Chan Foong Hing (PH-Kota Kinabalu), Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) dan William Leong (PH-Selayang) itu, mereka mencabar supaya Wan Junaidi memperjelas hal yang dibangkitkan ini.

"Selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang, kami kesal Wan Junaidi nampaknya memperkecilkan keseriusan skandal pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dengan membangkitkan nilai saham-saham pada masa pembelian

"Wan Junaidi telah memberikan justifikasi isu saham dipegang oleh Azam dengan mengatakan bahawa ianya bernilai RM 330,000.00 dan adalah mampu milik.

"Persoalan kami, mengapakah Wan Junaidi kelihatan bersifat melindungi Azam?

"Isu pembelian saham-saham ini a bukan sahaja isu mampu milik. Ia juga persoalan konflik kepentingan. Ia juga persoalan integriti. Ia juga persoalan defisit kepercayaan rakyat jelata terhadap SPRM selaku pembasmi rasuah. Wan Junaidi nampaknya telah mengabaikan kesemua persoalan ini," kata mereka dalam kenyataan itu.

Semalam, Wan Junaidi berkata jumlah saham yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu mampu dimiliki kebanyakan orang.

Wan Junaidi juga berkata adalah tidak salah untuk penjawat awam memperoleh saham dalam syarikat senaraian awam.

Jelasnya, pada 2016, satu juta saham yang dibeli oleh Azam bernilai RM330,000, berharga antara 30 sen dan 33 sen sesaham dan dikumpul secara beransur-ansur.

“Berdasarkan harga awal, ia bukanlah satu saham yang mahal untuk diperoleh. Saya percaya ia mampu dimiliki oleh kebanyakan daripada kita," kata Wan Junaidi.

Dalam pada itu, anggota PSC berkenaan berpendapat kenyataan Wan Junaidi bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM itu mampu beli saham tersebut dengan menggunakan gaji sendiri juga bertentangan dengan kenyataan Azam sebelum ini yang mendakwa akaunnya telah digunakan oleh adiknya.

"Mengapakah seruan kita untuk mengadakan pendengaran untuk Azam diketepikan? Bagaimana demokrasi berparlimen di Malaysia dapat berfungsi jika PSC tidak dapat menjalankan tugas secara berdikari tanpa perlu mendapatkan kelulusan daripada eksekutif?

"Mengapakah Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR) kena tulis surat kepada Wan Junaidi untuk mendapatkan kelulusan? Kami dengan sesungguhnya menyatakan bahawa tiada keperluan bagi mendapatkan kelulusan Wan Junaidi dan pihak Yang Dipertua Dewan Rakyat dan SUDR seharusnya menetapkan tarikh bagi mesyuarat atau pendengaran PSC Agensi JPM tanpa dilengah-lengahkan lagi," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS