Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usaha terakhir selamatkan SK Assumption berusia 80 tahun
Diterbitkan:  Jan 9, 2022 2:04 PM
Dikemaskini: 6:04 AM

Sekolah Kebangsaan Assumption di Butterworth, yang diasaskan oleh mubaligh Kristian pada tahun 1930-an dijangka akan ditutup penghujung Feb depan apabila seramai 55 muridnya dipindahkan ke sekolah lain.

Jurucakap Pasukan Petugas Bersama Save Assumption School Vernon Christopher Fernandez berkata, satu mesyuarat telah diadakan semalam antara alumni, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Jabatan Pendidikan negeri.

Fernandez berkata pada mesyuarat itu, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa sekolah itu akan ditutup berkuat kuasa 28 Feb 2022.

“‘Arahan’ untuk bertemu telah dipanggil oleh Kementerian Pendidikan dengan memberi notis kepada penerima kurang daripada 24 jam.

"Pasukan Petugas Bersama yang terdiri daripada wakil daripada Persatuan Ibu Bapa-Guru, Persatuan Alumni Assumption Butterworth, dan Lembaga Gabenor sementara telah dibentuk serta merta.

"Tetapi masa tidak mencukupi untuk ramai pihak lain yang berminat untuk hadir, dan malangnya yang paling penting ialah wakil pemilik tanah," kata Fernandez dalam kenyataan.

Katanya, mesyuarat dipengerusikan oleh timbalan pengarah pendidikan negeri, Abdul Said Hussain itu bukan merupakan perbicangan tetapi hanya memaklumkan kepada pihak berkepentingan, terutamanya pelajar dan ibu bapa  untuk menerima keputusan berkenaan.

Fernandez berkata, mereka diberitahu bahawa pemilik tanah persendirian (Sri Avenue Sdn Bhd) telah meminta tanah dan bangunan itu dikembalikan "secepat mungkin."

Namun begitu, Pasukan Petugas Bersama itu diberi masa selama empat belas hari untuk mencari penyelesaian.

Untuk rekod sekolah tersebut ditubuhkan sebagai sekolah mubaligh kristian pada tahun 1933 di Jalan New Ferry sebelum dipindahkan oleh pemaju ke Bagan Dalam.

"Keutamaan utama Pasukan Petugas Bersama adalah kebajikan dan kesejahteraan pelajar. Sebagai sebuah sekolah mubaligh dengan peruntukan yang terhad daripada KPM, pemilik tanah, bekas pelajar dan pihak berkepentingan lain yang prihatin telah mencari dana, material dan penajaan selama ini.

"Dana juga datang daripada wakil rakyat di kawasan itu. Oleh kerana pelajarnya sedikit dan kebanyakannya terdiri daripada kumpulan B40, guru-guru telah memberikan lebih perhatian dalam mendidik mereka.

"Untuk memindahkan mereka ke sekolah lain yang mempunyai pelajar yang ramai akan memberi kesan kepada mereka dari segi psikologi dan sosial," kata Fernandez.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy tanpa berselindung meletakkan kesalahan itu kepada Kementerian Pendidikan.

“Ia gagal memenuhi janji awal untuk membeli tanah daripada pemilik persendirian. Malah, pihak kementerian yang membina sekolah itu selepas ia dipindahkan dari tapak asal.

"Saya tidak faham mengapa tiada keputusan untuk membeli tanah daripada pemilik tanah seperti yang dijanjikan," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS