Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Bintulu gesa Dr Noor Hisham diganti, persoal strategi KJ
Diterbitkan:  Jan 9, 2022 1:03 PM
Dikemaskini: 5:16 AM

Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing sekali lagi tampil mengkritik cara kerajaan mengendalikan wabak Covid-19 di Malaysia.

Dia mempersoalkan sekiranya Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mempunyai strategi yang jelas, selain menggesa Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah digantikan.

"Kita perlu bertanya sama ada Noor Hisham sebagai salah seorang ketua pembuat keputusan untuk tindak balas dalam menangani wabak ini, sememangnya orang yang terbaik untuk mengetuai benteng kebimbangan terhadap Omicron dan mengeluarkan rakyat kita daripada ancaman ini.

"Hakikatnya kekal bahawa dia seorang pakar bedah, yang latar belakangnya bukan dari bidang kepakaran kesihatan awam.

"Mereka jelas tidak layak tetapi masih enggan mendapatkan nasihat daripada China, yang mempunyai pengalaman besar dalam memerangi wabak ini," kata Tiong pada satu kenyataan, hari ini.

Tiong, yang pernah mengecam Noor Hisham sebelum ini, berkata ketua pengarah kesihatan itu tidak cukup belajar daripada tindak balas China terhadap wabak itu.

"Semua orang boleh melihat bahawa kadar kematian akibat Covid-19 di China adalah rendah tetapi berapa ramai orang di Malaysia telah terkorban akibat penyakit ini? Adakah ini adil kepada mereka atau keluarga mereka?

"Mengapa Malaysia tidak menggunakan lebih banyak strategi antiwabak dari China dan mengapa Noor Hisham belum diganti?

"Berapa banyak lagi nyawa yang perlu terkorban akibat Covid-19 sebelum kita sedar dia tidak boleh dibenarkan untuk terus berkhidmat dalam kapasiti ini," soal Tiong.

Pada November tahun lalu, Tiong yang juga duta khas perdana menteri ke China, mendakwa Noor Hisham "takut mati" kerana tidak melawat Sabah ketika kemuncak wabak Covid-19 di negeri itu.

Dia turut mempersoalkan Khairy sama ada mempunyai strategi yang jelas untuk menghadapi senario terburuk atau masih mengamalkan strategi 'satu demi satu'.

Tiong menegaskan bahawa data dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Sepanyol, dan negara lain yang menghadapi penularan Omicron telah menunjukkan kemasukan ke hospital meningkat dua kali ganda dan sistem perubatan negara menanggung beban berat.

"Sekarang bukan masa untuk mempamerkan semacam 'kebijaksanaan politik' peribadi. 

"Untuk menangani ancaman kesihatan global yang semakin hampir ini, kita perlu memasuki keadaan persediaan dengan cepat, daripada menunggu sistem perubatan runtuh terlebih dahulu dan mendengar sidang media KKM.

"Kita mesti melihat arah aliran wabak itu, dan menyeru orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) protokol kesihatan untuk mencegah penularan yang meluas.

“Paling penting, pihak berkuasa mesti mengkaji semula pengalaman lalu dalam memerangi wabak itu dengan menguruskan sumber yang sewajarnya sekarang seperti penjadualan kakitangan perubatan, wad, peralatan dan lain-lain lebih awal,” katanya.

Dia menyeru kerajaan supaya proaktif dengan membuat rancangan jangka panjang dan bukan sekadar reaktif.

“Kita tidak seharusnya diletakkan dalam situasi berebut mencari sumber dan merangka tindakan balas pada saat-saat akhir.

“Ingatlah bahawa apabila Malaysia melaporkan kes import pertamanya yang disahkan pada 2 Dis, Khairy memberi ‘jaminan’ pada sidang medianya untuk menekankan bahawa langkah pencegahan wabak Malaysia adalah ketat dan merayu semua orang untuk bertenang.

"Lebih baik lagi, dia memberitahu semua orang bahawa dia mempunyai rancangan untuk menguruskannya. 

"Tetapi dalam tempoh sebulan, nadanya berubah dengan menganggarkan kes akan meningkat kepada 30,000 kes harian," kata Tiong.

[Baca laporan asal] 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS