Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres Kampung Sungai Baru hari ini menggesa Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) menangguhkan sesi pendengaran yang dijadualkan pada 19 Januari nanti.
Jawatankuasa itu yang mewakili 61 penghuni rumah teres dari Kampung Sungai Baru meminta Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim agar turun padang menyelesaikan isu berbangkit berhubung pengambilan tanah kampung itu.
Pengerusinya, Lily Suzana dalam sidang media hari ini berkata bahawa sebarang urusan pengambilan tanah atau perbincangan mengenai pampasan perlu melalui jawatankuasa bertindak.
"Semua pemilik rumah teres yang telah mendapat warta dan yang belum diwartakan menuntut sesi hearing kedua oleh PTGWPKL yang dijadualkan berlangsung pada 19 Januari sehingga 31 Januari ditangguhkan.
"Ini selari dengan janji yang telah dibuat oleh menteri Shahidan Kassim, ketika pertemuan bersama jawatankuasa bertindak pada 6 Disember 2021 di pejabat menteri di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
"Dia (Shahidan) berjanji kepada kami sama seperti janji dia sebelum ini di sesi kamar khas parlimen pada 13 Disember di mana pembangunan semula Kampung Sungai Baru hanya boleh berlaku setelah pemilik dan pemaju bersetuju dengan kadar pampasan dan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak," katanya kepada pemberita di Dewan Orang Ramai MAS Kampung Paya, Kuala Lumpur.
Namun, Lily berkata bahawa penduduk rumah teres kecewa setelah PTGWPKL merancang mengadakan sesi pendengaran tanpa mencapai persetujuan mengenai kadar pampasan terlebih dahulu.
Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak tahun 2016.
Pada Julai 2021 lalu, penduduk di Kampung Sungai Baru telah menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.
Namun, penduduknya khususnya penghuni rumah teres tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan oleh PTGWPKL.
Sehingga kini, sebanyak 37 penduduk rumah teres tidak setuju dengan pampasan ditawarkan, manakala 27 penghuni bersetuju.
Menurut AJK jawatankuasa bertindak, Saiful Azhar Ibrahim, ramai pihak keliru dengan tawaran dibuat ke atas pemilik lot di Kampung Baru semasa Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Tawaran RM850 dan tambahan RM150 dalam bentuk nilai saham ditawarkan zaman PH adalah kepada penduduk di tanah rizab Melayu di Kampung Baru. Kami penduduk Kampung Sungai Baru adalah pemegang pajakan 99 tahun yang masih mempunyai baki 57 tahun. Kami tidak sama dengan pemilik tanah lot rizab Melayu.
"Rizab Melayu ada sekatan. Kami pemegang pajakan tiada sekatan. Boleh ke nilai komersial. Sebenarnya, ikutkan kami ini patut dinilai lebih tinggi.
"Sekarang pemaju menggunakan pejabat tanah memanggil kita untuk hearing itu dan memutuskan pampasan mengikut harga pembelian semasa tak mengikut harga nilai tanah. Ini sangat tidak adil bagi kami," katanya.
Menjelaskan lagi kaedah pampasan harga pembelian semasa, Lily mendakwa bahawa pemaju menggunakan "taktik jahat" dalam menetapkan nilai harga pembelian semasa.
"Salah seorang pengarah syarikat pemaju telah membeli sebuah rumah teres di Kampung Sungai Baru sekitar tahun 2018 dengan harga yang rendah (di bawah harga pasaran) RM500,000.
"Mungkin yang ini akan ditetapkan sebagai harga precedent yang boleh diguna pakai oleh JPPH (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta) kepada semua pemilik yang enggan bekerjasama dengan pemaju.
"Ini kerana pihak JPPH telah pun membangkitkan perkara ini dalam sesi hearing pertama, dengan menyatakan bahawa ada transaksi melibatkan penduduk dan pembeli yang boleh ditetapkan sebagai harga pembelian semasa," katanya.
Tak iktiraf persatuan lain
Tambahnya, jawatankuasa bertindak juga tidak mengiktiraf Persatuan Kebajikan Hartanah Pemilik Kampung Sungai Baru yang sering menjadi wakil penduduk di situ dalam urusan pengambilan tanah.
"Kami, pemilik teres Kampung Sungai Baru ingin menegaskan bahawa persatuan ini bukanlah yang mewakili pemilik-pemilik teres. Kami secara majoritinya bukanlah ahli persatuan dan tidak tahu akan kewujudan persatuan ini.
"Kami hairan dan pelik bagaimana persatuan boleh membuat beberapa keputusan penting berkaitan hartanah kami dengan pihak pemaju. Sehubungan itu, kami menuntut pihak-pihak berwajib mengambil tindakan tegas terhadap persatuan ini khususnya pelanggaran Akta Pertubuhan.
"Ini yang menyebabkan penduduk yang masih tidak setuju untuk pengambilan tanah meminta menangguhkan sesi hearing dan seterusnya menteri perlu turun padang untuk mengetahui keadaan sebenarnya," katanya.