mk-logo
Berita
Isu banjir, skandal bos SPRM boleh jadikan Ismail PM paling teruk - Guan Eng
Diterbitkan:  Jan 8, 2022 5:39 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberi amaran bahawa Ismail Sabri Yaakob berisiko dilihat sebagai perdana menteri paling teruk dalam sejarah negara.

Lim memetik pendekatan kerajaan semasa menangani banjir baru-baru ini serta skandal Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebagai faktor.

"Kegagalan pengurusan bencana banjir di beberapa negeri baru-baru ini yang menyebabkan lebih 50 kematian dan kerugian ekonomi dianggarkan RM20 bilion adalah satu noda hitam pada rekod pentadbiran Ismail yang hanya akan diburukkan lagi dengan kegagalannya untuk mengambil tindakan terhadap Azam.

"Kedua-dua kegagalan ini akan membuktikan bahawa Ismail lebih teruk daripada Muhyiddin Yassin dan meninggalkan beliau dengan rekod sebagai perdana menteri paling teruk dalam sejarah Malaysia," kata Lim dalam satu kenyataan media hari ini.

Sekurang-kurangnya 54 korban dalam banjir baru-baru ini.

Gelombang pertama banjir pada pertengahan Disember berpunca daripada kemelesetan tropika yang mencetuskan banjir kilat di Lembah Klang.

Gelombang kedua banjir menyusul tidak lama selepas itu dicetuskan oleh hujan monsun.

Sementara itu, Azam mendapat kecaman selepas diketahui bahawa dia memegang berjuta-juta saham dan waran dalam dua syarikat senaraian awam semasa memegang jawatan pengarah siasatan SPRM.

Ketua pesuruhjaya SPRM itu mendakwa abangnya telah menggunakan akaunnya untuk membeli saham itu dan menafikan sebarang salah laku.

Kenyataan Lim itu turut mengkritik Ismail yang disifatkannya tidak bertindak terhadap Azam.

Bagaimanapun, pada masa kenyataan itu dikeluarkan, Ismail sudah mengulas kes Azam.

Ismail meminta pihak berkuasa diberi ruang untuk menyiasat kes berkenaan, dan menyeru pihak lain tidak membuat kesimpulan sendiri.

Selain salah urus banjir dan skandal Azam, Lim berkata faktor lain yang menjejaskan reputasi Ismail ialah keadaan wabak Covid-19 di Malaysia, dan prestasi ekonomi yang lemah.

"Di bawah pengawasan Ismail sebagai perdana menteri, ekonomi dan pandemik Covid-19 tidak bertambah baik dengan 31,644 kematian dan 2,769,533 jangkitan setakat 7 Januari 2022.

"Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi terburuk di Asean dengan penguncupan negatif 4.5 peratus bagi suku tahun ketiga 2021 berikutan kegagalan 'sekatan penuh' (total lockdown) yang bersiri," kata Lim.

Sementara itu, timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Ismail.

Dalam kenyataan di Twitter, Salahuddin menggesa Yang di Pertuan Agong bertindak terhadap Ismail, yang digelarnya sebagai perdana menteri yang "sangat lemah".

Dia juga menyebut salah urus banjir dan skandal Azam sebagai kegagalan Ismail.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS