Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada keperluan badan bebas siasat Azam, kata PM
Diterbitkan:  Jan 8, 2022 4:54 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Di sebalik gesaan pelbagai pihak agar sebuah badan bebas ditubuhkan bagi menyiasat pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, perdana menteri sebaliknya berpendapat tiada keperluan untuk itu sekarang.

Menurut Ismail Sabri Yaakob, sistem yang ada ketika ini memadai untuk menjalankan siasatan tersebut dan meminta agar orang ramai memberikan proses berkenaan berjalan.

Bercakap di Kota Kinabalu, Sabah, Ismail Sabri berkata ketika ini SPRM sendiri mempunyai tatacara sendiri untuk mengendalikan kes tersebut iaitu melalui siasatan dalaman Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

Malah kata ahli parlimen Bera itu lagi, Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia dan polis juga sedang menjalankan siasatan masing-masing, justeru proses tersebut wajar diberikan ruang.

Pada masa sama katanya orang ramai tidak boleh membuat andaian sendiri dan menganggap ketua pesuruhjaya SPRM itu sudah bersalah.

"Itu tidak wajar sebab semua orang berhak membela diri masing-masing semasa siasatan dijalankan,” katanya dipetik Utusan Online petang ini.

Sebelum ini pelbagai pihak termasuk pemimpin parti kerajaan menggesa Azam disiasat oleh badan bebas bagi merungkai isu yang membayangi pegawai atasan agensi antirasuah berkenaan.

Mesti berlaku adil

Pemimpin pembangkang juga mendesak agar Ismail Sabri memberikan reaksi terhadap isu tersebut, khususnya apabila semua anggota LPPR - kecuali pengerusinya, Abu Zahar Ujang - hari ini menguarkan kenyataan bersama menafikan mereka menganggap Azam 'bersih'.

Ismail Sabri berkata kerajaan sebenarnya tidak berdiam diri dalam kemelut yang melanda SPRM sebaliknya menegaskan ada tindakan diambil.

Katanya SPRM diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri kerana tidak mahu kerajaan terutama perdana menteri campur tangan secara langsung.

“Sekarang mereka nak saya campur tangan pula jadi, saya harap kita kena konsisten dengan apa kita lakukan.

“Kalau kita kata SPRM sebuah badan bebas supaya tiada campur tangan secara langsung daripada kerajaan terutama perdana menteri jadi, biarlah prinsip itu kita kekalkan.

“Namun, saya sendiri memberi jaminan bahawa saya tidak akan berkompromi jika ada isu berkaitan dengan salah laku sesiapa sahaja.

"Bagaimanapun, kita mesti berlaku adil kepada sesiapa pun supaya selesai segala proses siasatan, baru kita membuat keputusan,” katanya.

Ismail Sabri juga berpendapat buat masa ini tiada keperluan untuk Azam direhatkan kerana ia konsisten dengan apa yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Merujuk kepada kes tuduhan rasuah membabitkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ismail Sabri berkata ketika itu tidak kedengaran gesaansama daripada pihak kerajaan.  

"Beliau (Lim) terus kekal sebagai ketua menteri. Jadi saya kata jangan double standard

"Kalau dulu ada minta Ketua Menteri Pulau Pinang bercuti atau berhenti, barulah boleh kita arahkan (sama terhadap Azam), tapi tiada siapa bising pun (pada masa itu)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS