Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Batal tauliah: PAS akur titah Sultan Selangor
Diterbitkan:  Jan 8, 2022 11:30 AM
Dikemaskini: 3:30 AM

PAS Selangor meminta semua pihak untuk menghormati keputusan pihak istana menarik balik tauliah mengajar agama kepada aktivis politik di negeri itu berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Kata setiausahanya, Roslan Shahir Mohd Shahir, PAS negeri meyakini kebijaksanaan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membuat keputusan berkenaan.

Katanya PAS Selangor yakin ia dibuat selepas melihat pelbagai aspek dan mengambil kira kepentingan umat Islam khususnya di negeri terbabit.

“Menjadi harapan PAS Selangor agar para asatizah aktivis parti menghormati keputusan ini dan terus berusaha memartabatkan Islam dalam kalangan masyarakat di negeri ini melalui pelbagai kaedah dan platform yang diizinkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 28 Dis lalu Malaysiakini melaporkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan membatalkan atau menarik balik tauliah mengajar agama kepada agamawan yang terlibat aktif dalam politik.

Serentak dengan itu juga, kata Mais, tauliah untuk mengajar agama kepada individu terbabit tidak akan dikeluarkan lagi.

Pengerusi Mais, Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata langkah itu dibuat sebagai menjunjung titah Sultan Selangor yang tidak membenarkan Islam dipolitikkan dan dijadikan sebagai bahan politik oleh mana-mana pihak khususnya di masjid dan surau. 

Abdul Aziz juga mengingatkan, menjadi kesalahan undang-undang bagi pihak yang didapati mengingari titah Sultan Selangor selaku ketua agama Islam negeri dan boleh didakwa di mahkamah.

Difahamkan kira-kira 20 orang penceramah sudah dibatalkan tauliah mereka berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Kata Roslan Shahir semalam rombongan PAS Selangor mengadakan pertemuan dengan Abdul Aziz serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Shahzihan Ahmad, bagi membincangkan isu berkenaan.

Menurutnya perbincangan berlangsung dalam suasana yang mesra.

Hasil rundingan dua hala yang itu katanya, PAS Selangor memutuskan mereka kekal menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS