PULASAN | "Korupsi secara kaffaah, ya akhi ya ukhti..."
Mungkin hanya sekali untuk 100 tahun, khutbah Jumaat di masjid-masjid di negara ini diberi perhatian lebih oleh orang ramai. Ia adalah detik amat langka, sebenarnya.
Yalah, kalau berkisar mengenai pameran buku, misalnya, atau tentang kempen kesedaran membaca, ia tidak banyak beza dengan tugasan karangan pelajar di tingkatan lima saja.
Namun semalam ramai yang berkata-kata. Khatib bersyarah tentang kejinya rasuah. Sesetengahnya dengan penuh ranggi dan bersemangat, manakala - tidak dapat dielakkan - sebahagian lagi membaca teks itu dengan 'tiada perasaan' saja.
Tetapi semalam agak lain. Khutbah di masjid atau surau Jumaat di Selangor dan Kuala Lumpur bergema dengan kemarahan terhadap rasuah.
Ada kias ibarat menggunakan anjing dalam teks berkenaan. Ada juga disebut akan agensi antirasuah negara yang jarang-jarang dapat membanggakan kita, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ia jadi lebih menarik apabila di Perak pun keberangan terhadap amalan kotor itu juga dapat dirasakan. Mimbar-mimbar Jumaat bersemarak dengan khutbah bertajuk "Azam melaksanakan tadbir urus yang amanah".
Mengharap benar-benar bersih
Dapat difahami bahawa kemarahan dan ketegasan itu dicetuskan oleh isu semasa yang melanda negara. Ketika tuduhan dan dakwaan terhadap pegawai tertinggi SPRM itu belum dibuktikan secara jelas di mahkamah, apa yang berlaku memang sangat merimaskan.
Ada juga kemungkinan khatib yang bertugas - dan terikat dengan pelbagai peraturan tidak bertulis oleh kerajaan - sedang melepaskan geram atas rakusnya budaya rasuah sekarang. Mungkinlah.
Sudah tentu ini perkembangan yang sangat menarik dan membina harapan yang besar kepada ummah. Terlalu lama mimbar masjid menjadi pusat propaganda yang memualkan, dan sesekali ke tahap mandom pada setiap Jumaat.
Sedangkan fungsi khutbah itu ialah menyedarkan umat Islam akan sesuatu perkara semasa.
Dunia pasti akan menjadi lebih baik dan mendamaikan jika khutbah bernas dan bersemangat itu hadir bukan hanya apabila melibatkan SPRM atau pegawai-pegawai atasannya.
Biasalah, SPRM itu makhluk dan orangnya juga makhluk. Tidak pernah ada yang sempurna di situ. Apa yang ada ialah panduan dan kesedaran yang diterapkan, manakala selebihnya ialah harapan agar ia menjadi agensi yang benar-benar bersih.
Rasuah juga tetap rasuah. Pedulilah sama ada ia dilakukan oleh pegawai SPRM atau bukan.
Tumbuk rusuk oleh penoreh getah, misalnya, adalah tumbuk rusuk yang sama dengan ketua pegawai eksekutif badan korporat, atau sesiapa saja waima individu yang berada di kedudukan paling tinggi.
Bahkan rasuah yang berlaku di peringkat tertinggi itu lebih menjijikkan. Jangan melihat kepada SPRM semata-mata.
Buta sebelah mata
Khutbah-khutbah yang mengecam rasuah semalam adalah khutbah yang lama tertangguh, tertanam, tertimbus - dan mungkin tertalkin - ketika orang politik di sana sini melahap dengan rakus habuan yang diberikan kepada mereka.
Rasuah bukan sekadar melibatkan wang tunai atau saham. Berbalas-balas jawatan dan kedudukan juga adalah salah satu bentuk rasuah.
Dalam kebanyakan waktu ia dilakukan secara terbuka dan bangga. Atau dalam bahasa mudah: dilakukan tanpa rasa kesal kerana melacurkan maruah masing-masing.
Merenung dengan penuh kebencian terhadap dakwaan rasuah di SPRM tetapi memejamkan mata terhadap rasuah jawatan dan politik menjadikan kita hampir dengan sifat dajal yang buta sebelah matanya. Sedang buta pada hati itu sudah tentu.
Setakat ini rasuah bukan wang di peringkat atasan selalu disakralkan atas pelbagai nama. Bagi yang meluat melihat rasuah politik peringkat tinggi, tidak banyak yang dapat dilakukan selain 'mengumpat' saja.
Nak mengharapkan SPRM, ia kira-kira sama macam mengharapkan tauke pembalakan haram membuat pengisytiharan jujur tentang kegiatan mereka dalam hutan.
Atau dalam konteks sekarang: seperti menanti menteri menghabiskan 'sagun' yang ada di dalam mulut masing-masing.
Kerana itu orang ramai sangat tidak boleh dipersalahkan apabila menjadi skeptikal kepada mana-mana badan agama dan pihak berkuasa berkaitan. Dan rakyat mentertawakan - dalam sedih - apa yang ada.
"Korupsi secara kaffaah, ya akhi ya ukhti..." tulis seorang anak muda pada status WhatsAppnya semalam. Ia adalah jenaka yang sangat pedih dan memilukan.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan yang gemar memerhatikan orang memamah sagun.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.