Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jabatan Kesihatan Labuan jangka kes Covid-19 bertambah

Jumlah kes baru membabitkan varian Omicron yang mencetuskan kluster OKK Awang Besar Saudi di Labuan meningkat kepada 18 berbanding 13 semalam, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Menurutnya jabatan terbabit kini bersiap sedia sepenuhnya untuk kemungkinan berlaku lonjakan kes baru melibatkan varian tersebut, di samping menggesa orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dengan mengelak orang ramai dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Jumlah kes Covid-19 bertambah berikutan kemunculan kluster baru ini, dan kami juga menjangkakan peningkatan kes dalam beberapa hari akan datang.

“Jangkaan peningkatan kes bukan sahaja disebabkan kemasukan pengembara, tetapi kemungkinan besar juga daripada kalangan pelajar memandangkan sesi persekolahan dibuka semula minggu depan.

"Berikutan itu, kami memutuskan untuk membekukan cuti tahunan petugas kesihatan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, menurut Dr Ismuni seorang pelajar Kolej Matrikulasi Labuan - berasal dari Sabah - yang dijadual memulakan semester baru dikesan positif Covid-19 beberapa hari lalu.

“Pelajar berkenaan menjalani kuarantin dalam bilik dan kami sentiasa memantau keadaan kesihatannya serta kemungkian berlaku jangkitan dalam kalangan pelajar lain,” katanya.

Dr Ismuni berkata selepas kejayaan mengekang wabak tersebut, Labuan menyaksikan trend yang masih turun naik bagi kes baru Covid-19 dengan merekodkan dua digit kes pada 2 Jan, sebelum turun kepada dua dan lima kes masing-masing pada 3 dan 4 Jan, kemudian meningkat semula kepada 15 kes pada 5 Jan dan 20 kes semalam.

“Daripada 20 kes yang kami laporkan semalam (6 Jan), 18 kes adalah daripada dua keluarga yang pulang dari Kelantan dan Sabah.

"Ini menunjukkan pematuhan SOP semakin diambil ringan,” katanya.

Menurut Dr Ismuni sehubungan itu, petugas kesihatan (unit penguatkuasaan) ditugaskan untuk meningkatkan pemantauan terhadap pematuhan SOP terutamanya di premis makanan dan minuman.

“Semua orang tidak akan terlepas daripada kompaun sekiranya didapati melanggar SOP kerana kami bukan sahaja menyasarkan pengusaha premis perniagaan, tetapi juga individu (pelawat dan pelanggan),” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS