Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam dipanggil polis lepas buat laporan terhadap KJ, Noor Hisham

KEMAS KINI | Peguam, Asiah Abdul Jalil berkata dia dipanggil polis berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Asiah petang tadi membuat laporan polis berhubung keputusan kerajaan melaksanakan vaksinasi Covid-19 kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Kata Asiah, pada awalnya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menghubunginya untuk hadir memberikan keterangan pada malam ini.

"Disebabkan dah malam, saya minta untuk hadir esok pagi (Sabtu). Pegawai penyiasat Inspektor Raj kemudiannya tetapkan untuk ambil keterangan pada hari Isnin ini.

"Saya maklumkan tujuan saya buat laporan polis ialah untuk ambil tindakan saman sivil terhadap KJ dan Dr Hisham.

"Namun kini laporan polis saya disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah. Katanya prosedur biasa. Aneh, tapi saya akan layan sahaja," katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut Asiah, ada beza apabila peguam sendiri mengambil tindakan dalam isu vaksin berkenaan.

"Tidak seperti orang awam, peguam macam saya tak takut dengan ancaman dan intimidasi pihak berkuasa," katanya.

Terdahulu, ibu kepada sepuluh anak itu membuat laporan polis terhadap Khairy  dan Dr Noor Hisham di IPD Kuantan petang tadi.

Asiah ketika dihubungi berkata,  laporan polis itu dibuat berhubung pemberian dos penggalak vaksin kepada anak-anaknya yang berumur antara 12 dan 19 tahun, serta dos pertama untuk mereka yang berumur antara lima dan 11 tahun.

"Laporan polis ini sebagai standby police report. Jika anak-anak saya didiskriminasi selepas ini, maka pada masa itu wujud elemen "kerugian" atau "kerosakan" atau "pencabulan hak","katanya kepada Malaysiakini.

Asiah berkata diskriminasi yang dimaksudkan termasuk pengasingan di sekolah, larangan menggunakan padang dan fasiliti sukan awam, larangan makan di restoran, larangan masuk ke pasar raya atau sekatan perjalanan.

Asiah berkata dia juga akan mempertimbangkan untuk memfailkan tindakan undang-undang di bawah tort misfeasance di pejabat awam" terhadap Khairy dan Noor Hisham sebaik sahaja elemen yang diperlukan dibuktikan.

"Saya sebagai ibu kandung, bercadang nak failkan saman terhadap Khairy Jamaluddin dan Dr. Noor Hisham Abdullah di bawah kausa tindakan "tort of misfeasance in public office", sekiranya vaksin Covid-19 diwajibkan ke atas anak-anak saya atau sekiranya anak-anak saya didiskriminasi akibat tidak mengambil vaksin Covid-19.

"Sebab sekarang belum ada "kerugian" atau "kerosakan". Nak saman di mahkamah sivil, kena buktikan elemen tersebut," kata Asiah yang menegaskan dia sendiri menolak untuk menerima dos penggalak.

Menurut laporan polis yang dilihat Malaysiakini, empat anak sulung Asiah berusia antara 19 hingga 14 tahun telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19, manakala anak kelimanya, berusia 13 tahun, sedang menunggu pemberian dos kedua.

Anak keenam, ketujuh, kelapan dan kesembilan Asiah berusia antara 11 dan lima tahun, manakala anak bongsunya berusia dua tahun.

"Pada sepanjang masa kerajaan tidak pernah mewajibkan penerimaan vaksin Covid-19 kepada mana-mana pihak tetapi kerajaan melalui arahan eksekutif dan kuasa pentadbiran Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) dan Ketua Pengarah Kesihatan (Dr Noor Hisham Abdullah) telah membuat peraturan, dasar dan polisi yang menyekat hak kebebasan dan hak asasi bagi sesiapa yang belum menerima vaksin atau menolak vaksin,” kata Asiah dalam laporan polisnya. .

Asiah memaparkan salinan laporan polisnya di halaman Facebook bersama gambar borang kebenaran vaksinasi yang disifatkannya sebagai "perangkap" untuk menerima dos penggalak.

Noor Hisham semalam berkata, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) telah memberikan kelulusan bersyarat kepada vaksin formulasi baru Covid-19 jenis Pfizer untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Formulasi itu menggunakan 10 mikrogram bahan aktif vaksin setiap dos, berbanding 30 mikrogram setiap dos yang diluluskan sebelum ini untuk mereka yang berumur 12 tahun ke atas.

Khairy semalam berkata KKM menubuhkan Jawatankuasa Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C) untuk Program Imuninasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICK Kanak-kanak) yang akan dipengerusikan oleh timbalannya, Dr Noor Azmi Ghazali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS