Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah US$116.9 bilion pada 31 Disember 2021, tinggi sedikit berbanding US$116.3 bilion pada 15 Dis.
Bank pusat dalam satu kenyataan hari ini berkata paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.7 bulan import tertangguh dan 1.2 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
BNM berkata komponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (US$104.1 bilion), kedudukan rizab IMF (US$1.4 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (US$6.0 bilion), emas (US$2.3 bilion), dan aset rizab lain (US$3.1 bilion).
Mengenai aset, bank pusat berkata ia terdiri daripada emas, pertukaran asing dan rizab lain termasuk SDR (RM486.79 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.21 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM880.26 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM22.87 billion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) dan aset lain (RM24.65 bilion).
Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar berjumlah RM100 juta, rizab (RM186.75 bilion), mata wang dalam edaran (RM150.01 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM159.89 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM8.59 bilion), deposit lain (RM4.79 bilion), kertas Bank Negara (RM7.91 bilion), peruntukan SDR (RM28.15 bilion) dan liabiliti lain (RM5.31 bilion).
- Bernama